PRU15: Pas ditawar 47 kerusi boleh menang oleh Bersatu, punca tinggalkan MN – dakwa Asyraf Wajdi

0
44

CYBERJAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Pas dijanjikan 47 kerusi Parlimen boleh menang oleh Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga sanggup
meninggalkan Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata, perkara itu ditegaskan oleh pimpinan kanan parti itu ketika mengadakan pertemuan bersama pimpinan kanan UMNO kelmarin dalam usaha menyelamatkan gagasan tersebut.

“Sebagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dahulu, UMNO menawarkan lima kerusi DUN boleh menang kepada Pas untuk ditandingi walaupun Bersatu menjanjikan 11 kerusi kepada Pas.

“Begitu juga pada pertemuan kali ini, Pas menegaskan bahawa jika bersama PN, Bersatu menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada Pas,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Dalam hantaran itu, beliau turut memuatnaik sekeping gambar pertemuan lapan mata antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sehari sebelum Pas membuat keputusan kekal bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

“Pertemuan ini adalah ikhtiar terakhir UMNO untuk berlapang dada menerima Pas bagi menyelamatkan MN yang digagaskan bersama sewaktu 22 bulan sama-sama menjadi pembangkang, atas deraian air mata kesyukuran, bagi menoktahkan permusuhan politik puluhan tahun hingga menjejaskan persaudaraan sesama Islam.

“Itupun selepas didatangi seorang pimpinan tertinggi Pas yang membawa mesej bahawa Majlis Syura Pas dan Muktamar Pas telah membuat resolusi mahukan hubungan Pas dan UMNO dipulihkan kembali. Dewan Ulamak Pas juga dikhabarkan membuat resolusi serupa.

“Justeru, UMNO sudah cukup berjiwa besar untuk menerima kembali Pas, walaupun dikhianati apabila Pas bersetuju mendaftarkan PN bersama Bersatu sedangkan penafian dibuat beberapa kali dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN,” katanya.

Sementara itu, Asyraf berkata, walaupun Pas enggan bekerjasama dengan UMNO dalam PRU15, pihaknya tidak akan patah semangat.

“Sebagai sebuah parti perjuangan, UMNO tidak akan pernah patah semangat walaupun madu dibalas tuba.

“Perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air adalah landasan yang akan diperluaskan, kerana UMNO yakin, rekod perjalanan yang panjang telah banyak menyaksikan, kerjasama atas sifat berkepentingan bukannya keikhlasan semata-mata, hanya menatijahkan pengkhianatan dan kerosakan.

“Apa-apapun Allah menjadi saksi bahawa usaha semaksimumnya telah dilakukan untuk menyelamatkan agenda penyatuan ummah terutamanya permuafakatan UMNO-Pas, demi memastikan umat Islam terutamanya jutaan ahli kedua-dua parti induk umat Islam-Melayu ini dapat dipertautkan kembali,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here