PRU15: PH terima Muda sebagai rakan gabungan baharu – Anwar

0
24
MUDA

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk mengadakan kerjasama politik dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.

Katanya lagi, permohonan Muda untuk memasuki gabungan PH secara rasmi mungkin tidak sempat diperoses, kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), manakala tarikh PRU15 dijangka tidak lama lagi.

“Seperti mana diumumkan, ia akan diteruskan dan ada jawatankuasa sedang berunding untuk meletakkan beberapa perkara bagi persefahaman bersama, dan begitu juga berbincang seterusnya, kalau dipersetujui, tentang kerusi dan logo… dan kita tiada halangan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Mengulas mengenai keputusan berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri di bawah pentadbiran PH, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, Anwar berkata, tempoh masa telah diberikan untuk pimpinan negeri memperhalusi isu tersebut, dan kembali membawa pandangan ke peringkat Majlis Presiden.

“Kami masih terikat dengan keputusan Majlis Presiden PH. Tetapi perkara itu perlu dibincangkan semula secara terperinci bersama pucuk pimpinan parti masing-masing,” katanya.

Anwar berkata, pimpinan pusat akan memberikan tempoh yang secukupnya kepada pimpinan negeri untuk melihat keperluan untuk mengadakan pilihan raya negeri, serentak dengan PRU15.

“Dalam hal-hal besar, sama ada pimpinan parti berbincang dulu, dan bawa ke Majlis Presiden, atau Majlis Presiden beri kerangka dasar utama, garis besar untuk dibawa kepimpinan parti masing-masing.

“Sebab ini melibatkan PKR dan DAP di Pulau Pinang, jadi akan bincang. setakat ni masih terikat dengan keputusan lalu,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here