PRU15: Radzi Jidin yakin dapat tawan hati pengundi Putrajaya

0
18
Datuk Dr Radzi Jidin ketika ditemu ramah pemberita selepas Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16 (1), di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin yakin dapat menawan hati pengundi Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti meskipun perlu berhadapan dengan calon ‘heavy weight’ daripada pihak lawan.

Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata, tempoh empat tahun beliau menetap di kawasan itu cukup untuk mengenali masyarakat setempat dan mengetahui pelbagai masalah yang membelenggu penduduk.

“Saya tinggal di sini sejak 2018 dan rumah pertama saya adalah di Pangsapuri Larai sebelum berpindah ke Presint 10, ketika itu saya banyak bergaul dengan komuniti setempat khususnya jawatankuasa masjid dan surau, masyarakat, kepimpinan masyarakat, persatuan penduduk dan persatuan sukan.

“Insya-Allah, jaringan yang ada dengan kakitangan awam semasa di Kementerian Hal Ehwah Ekonomi dan Kementerian Pendidikan memberi ruang yang sebaiknya untuk saya menyantuni pengundi di sini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16 (1), di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, mengumumkan Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu sebagai calon di Parlimen Putrajaya.

Beliau dijangka berhadapan dengan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memegang kerusi berkenaan selama empat penggal.

Pada PRU14, Tengku Adnan menang dengan majoriti 3,372 undi selepas memperoleh sebanyak 12,148 undi menewaskan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat yang masing-masing memperoleh undi sebanyak 3,634 dan 8,776.

Dalam pada itu, katanya, antara permasalahan yang disampaikan kepadanya ialah berkaitan penyelenggaraan kuarters yang tidak diberi perhatian dalam tempoh yang lama, tiada pengangkutan awam seperti bas untuk menghantar pelajar ke sekolah dan masalah parkir.

Mengulas lanjut, Radzi berkata rekod PN semasa menjadi kerajaan mampu membantu parti gabungan itu menakluk Putrajaya.

“Kita pernah memerintah ketika waktu Covid-19 dan ia membuktikan kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat bekerjasama rapat dengan penjawat awam serta menghormati pandangan yang diberikan oleh mereka.

“Rekod kita jelas bagaimana kita dapat bekerjasama dengan baik dan rekod itu juga akan dibawa bersama bagi memastikan kita dapat melonjakkan Putrajaya ini kepada yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai manifesto, Radzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PN berkata, perkara itu akan dilihat secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada konteks prihatin, bersih dan stabil.

“Ini adalah perkara yang ingin kita bawa dalam konteks pembangunan masyarakat, banyak perkara yang kita akan lihat secara menyeluruh bagi memastikan apabila kita membentuk kerajaan, kita bersedia.

“Apa yang selalu disebut oleh Tan Sri Muhyiddin, apabila diizinkan untuk membentuk kerajaan perkara pertama yang ingin dilihat adalah bagaimana cabaran yang dihadapi oleh negara dan rakyat kerana kita melalui satu tempoh yang sukar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here