Radzi Jidin sedia bertemu Cikgu Fadli

0
31
Dr. Radzi Jidin

CYBERJAYA – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan seorang guru yang berdepan tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dr. Radzi dalam hantaran di Facebooknya malam tadi berkata, beliau sedia bertemu dengan Mohd Fadli Salleh untuk memahami dengan lebih lanjut permasalahan berhubung isu yang dibangkitkan.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd. Fadli Salleh.

“Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” katanya.

Mohd Fadli atau popular dengan panggilan ‘Cikgu Fadli’ di media sosial baru-baru ini mendedahkan beliau menerima surat tindakan tatatertib yang boleh menyebabkan dia dibuang kerja atau turun pangkat.

Tindakan itu dipercayai berkait dengan kelantangan beliau memperjuangkan beberapa isu pendidikan seperti silibus mata pelajaran yang terlalu ‘berat’, isu beg sekolah berat, bilik darjah terlalu padat dan kewujudan ‘Little Napoleon’ dalam sistem pendidikan yang merosakkan sistem pendidikan negara.

Dalam hantaran terbaharunya, Cikgu Fadli yang mempunyai 670 pengikut di Facebook menyatakan kesudiannya untuk bertemu dengan Dr. Radzi yang cuba memahami isu yang dihadapi beliau.

“Apa pun alasannya, tak apalah. Saya bersangka baik Yb cuba memahami denyut nadi dan luahan akar umbi. InsyaAllah one fine day kita akan jumpa,” kata guru matematik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu di Facebooknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here