Rakaman Najib Razak tidak dilakukan dalam penjara tapi lebih awal

0
20
Kenyataan Jabatan Penjara mengenai video bekas Perdana Menteri yang tular sejak semalam.

CYBERJAYA – Jabatan Penjara menafikan rakaman video melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang tersiar baru-baru ini dibuat semasa bekas Perdana Menteri itu berada dalam tahanan penjara.

Sebaliknya video yang ditularkan itu didapati dirakam pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Kembara Keluarga Malaysia Episod Ke-57 iaitu sebelum bekas Perdana Menteri itu dipenjarakan.

“Jabatan Penjara menegaskan bahawa tiada apa-apa rakaman video yang melibatkan Datuk Seri Najib telah dibuat oleh mana-mana agensi media di dalam premis penjara seperti mana yang ditularkan.

“Video yang ditayangkan di TV1 pada 24 Oktober 2022 itu juga menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut.

“Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Semalam, tular satu paparan menunjukkan Ahli Parlimen Pekan itu menyampaikan ucapan menerusi RTM sehingga mengundang pelbagai reaksi dan persepsi tidak baik.

Antara yang beraksi terhadap penerbitan temu bual itu ialah pemimpin DAP, Nga Kor Ming yang turut menuduh RTM diperkudakan bagi menyiarkan ucapan Najib dari penjara itu.

“Amat sedih RTM diperkudakan utk menyiar ucapan banduan penjara sebaliknya berita pemimpin Pakatan Harapan banyak disekat.

“Inilah akibat bila ada kerajaan gagal yg terang2 menghina kedaulatan undang2 dan Rukun Negara kita. Kuasa dlm tangan mu sekarang!,” katanya menerusi Twitternya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here