Saman pemula terhadap PM, Kerajaan Malaysia dan SPR oleh bekas ahli Parlimen DAP ditolak

0
14
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan saman pemula yang difailkan oleh bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak mempunyai sebarang merit, remeh, menyusahkan dan tidak mempunyai kausa tindakan yang munasabah.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dalam penghakimannya berkata, saman pemula itu juga menyalahgunakan proses mahkamah kerana Perdana Menteri tidak perlu mendapatkan persetujuan atau mengadakan rundingan terlebih dulu dengan jemaah menteri untuk meminta Parlimen dibubarkan dan perkara itu tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Ahmad Kamal berkata, tindakan undang-undang berkenaan tidak mendedahkan kausa tindakan munasabah.

Beliau berkata, ia disebabkan kuasa meminta pembubaran Parlimen terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri yang mempunyai kuasa mutlak selaku Ketua Badan Eksekutif dan beliau boleh membuat permintaan bagi pembubaran tanpa mendapatkan nasihat daripada anggota Kabinet.

“Perdana Menteri berhak membuat keputusannya sendiri kerana beliau mempunyai kuasa mutlak sebagai ketua kerajaan.

“Akhirnya, Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara mempunyai budi bicara sama ada untuk menerima atau menolak permintaan itu. Kuasa prerogatif untuk membubarkan Parlimen terletak sepenuhnya di tangan Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai budi bicara mutlak untuk memperkenankan permintaan itu mengikut Perkara 42 (b) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya dengan ini mendapati saman pemula yang difailkan ini tidak mempunyai sebarang merit, remeh, menyusahkan, tidak mempunyai kausa tindakan yang munasabah dan menyalahgunakan proses mahkamah,” katanya memetik laporan BH Online.

Charles selaku plaintif memfailkan saman pemula itu pada 11 Oktober lalu, antaranya memohon perisytiharan bahawa permintaan Ismail Sabri kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober lalu untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat atau kuasa am Jemaah Menteri, oleh itu terbatal serta tidak sah.

Beliau juga memohon perintah mahkamah supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dihentikan atas alasan ia diadakan pada musim banjir.

Sementara itu, Ahmad Kamal berkata, beliau berpandangan disebabkan pembubaran Parlimen dibuat mengikut Perkara 42 (b) Perlembagaan Persekutuan, maka tiada keperluan untuk mendapatkan nasihat Kabinet mengikut Perkara 40 (1) dan Perkara 40 (1A) Perlembagaan.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut budi bicara mutlaknya untuk membubarkan Parlimen atas permintaan Perdana Menteri mengikut Perkara 42 (b) Perlembagaan dan baginda tidak terikat dengan Perdana Menteri atau nasihat Kabinet dalam melaksanakan tugasnya di bawah peruntukan itu.

“Manakala Perdana Menteri yang memegang kuasa tertinggi dalam Badan Eksekutif tidak perlu berunding dengan Kabinetnya untuk meminta pembubaran Parlimen.

“Saya berpandangan oleh kerana kuasa tunggal mutlak untuk meminta pembubaran Parlimen terletak di tangan Perdana Menteri, pertikaian pemohon untuk mencabar kesahihan permintaan untuk membubarkan Parlimen tidak mempunyai merit,” katanya.

Pada prosiding hari ini, Charles diwakili peguam Datuk Malik Imtjaz Sarwar, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak SPR dan Kerajaan Malaysia serta peguam Datuk Hafarizam Harun untuk Ismail Sabri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here