‘Saya hanya nak menang, bukan ancam siapa-siapa’ – Radzi Jidin

0
20
Datuk Dr Radzi Jidin berucap dalam Majlis Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-Sama Komuniti di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ukay Perdana, di sini, hari ini.

AMPANG – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin tidak menganggap pencalonannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini untuk memberi ancaman kepada mana-mana pihak.

Naib Presiden Bersatu itu berkata, tumpuannya hanya untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PN.

“Saya pergi situ bukan nak ancam siapa-siapa, nak menang sahaja.

“Insya-Allah, apa saja cabaran kita usahakan yang terbaik,” katanya.

Beliau kepada pemberita selepas Majlis Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-Sama Komuniti di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ukay Perdana, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan), Nor Azman Abdul Rahman.

Radzi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang melihat strategi PN mencalonkan Menteri Kanan Pendidikan itu di Putrajaya pada PRU15 tidak menjadi ancaman kepada Barisan Nasional (BN).

Radzi berkata, walaupun berdepan laluan sukar di Parlimen Putrajaya, beliau yakin mampu melakar kejayaan jika berupaya memahami denyut nadi penduduk setempat.

“Saya duduk empat tahun di Putrajaya, kita faham dan duduk bersama pemimpin masjid dan surau, pemimpin persatuan penduduk, komuniti kebun, pemimpin sukan, jadi kita tahu apakah cabaran (dihadapi) mereka.

“Paling penting kita akan laksanakan yang terbaik untuk penduduk. Potensi Putrajaya cukup luas tetapi ada keperluan mendesak termasuk penyelenggaraan kuarters kerajaan, pengangkutan bas, tempat parkir. Ini yang diutarakan kepemimpinan Putrajaya, tetapi tidak diberi perhatian sebelum ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here