Saya sanggup lupa dia pernah ‘tikam belakang’ – Dr. Mahathir

0
26
DR. MAHATHIR

CYBERJAYA – Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau sanggup merendahkan diri dan melupakan perbuatan ‘khianat’ Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadapnya bagi membolehkan GTA dan Perikatan Nasional (PN) bekerjasama untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ini.

Bekas perdana menteri itu berkata, parti pembangkang hanya boleh mengalahkan Umno dengan cara bekerjasama dan atas sebab itu beliau memilih mengusulkan perkara itu kepada Muhyiddin, namun ditolak oleh pengerusi PN itu.

“Kita pun fikir takpalah kalau pun dia (pernah) tikam belakang (saya) kerana demi bangsa, negara, agama kita, kita sanggup rendahkan diri nak bersama dengan Muhyiddin, walaupun dia buat khianat saya, tak apalah saya boleh lupakan perkara itu.

“Tetapi bila kita cuba nak kerjasama dengan Muhyiddin tetapi dia jawab dia tak nak kerjasama dengan siapa sahaja, bukan main sombong,” katanya ketika berucap pada Program Rapat Umum GTA Kedah, malam tadi.

Mahathir, yang juga pengerusi Pejuang dan penyandang kerusi Parlimen Langkawi, mendakwa Muhyiddin yakin PN boleh memenangi PRU15 tanpa perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak dan masih berminat untuk menjadi perdana menteri buat kali kedua.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, GTA menyasarkan untuk bertanding sekitar 120 kerusi Parlimen dan pengumuman calon akan dibuat pada 2 Nov ini.

“Kita akan buat majlis pengenalan calon kesemuanya pada 2 Nov ini, tapi dari semasa ke semasa kita akan buat pengumuman dua tiga calon di peringkat negeri atau pun di pusat.

“Keseluruhan kerusi sasaran kami GTA akan bertanding di 120 kerusi tapi angka itu akan dimuktamadkan kemudian, mungkin lebih mungkin kurang. Di Kedah, tidak kurang 10 kerusi Parlimen akan ditandingi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here