[VIDEO] Sekolah perlu rujuk polis sebelum keluar notis peringatan culik

0
36
Dr. Radzi Jidin (kanan) bersama Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof pada Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15, di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengingatkan pihak sekolah supaya tidak mengeluarkan notis berkait dengan kes culik sebelum merujuk perkara itu kepada pihak polis.

Menterinya Datuk Dr Radzi Jidin berkata, walaupun tindakan itu dibuat dengan niat baik, ia tetap dikhuatiri boleh menimbulkan kerisauan dan ketakutan dalam kalangan ibu bapa dan orang ramai.

“Kita telah memberi peringatan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan juga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya isu berkaitan tahap keselamatan kawasan sekitar sekolah dirujuk kepada pihak polis.

“Kita juga minta pihak sekolah merujuk kepada JPN dan PPD sebelum keluarkan sebarang notis peringatan ini.

“Kita tidak mahu notis yang dikeluarkan oleh pihak sekolah ini menimbulkan kerisauan orang ramai bukan sahaja di kawasan sekolah dan juga kawasan di sekitarnya,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15, di sini, hari ini.

Kompleks Sekolah Presint 15 Putrajaya siap 2025

Dr. Radzi berkata demikian bagi mengulas tindakan pihak sekolah yang mengeluarkan notis peringatan dan pemberitahuan berkaitan kes culik sejak kebelakangan ini.

“Dalam konteks ini kita dapati peringatan tersebut menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa walaupun pihak sekolah berniat baik

“Sebab itu kena ada perincian, ya kita perlu sentiasa beringat tapi pada masa sama kita perlu pastikan ia tidak menimbulkan kerisauan,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu panik dengan maklumat yang tular di media sosial dan memberi jaminan langkah-langkah keselamatan sering dilakukan pihak sekolah.

“Penceritaan berkaitan keselamatan adalah sebahagian daripada perkara yang sentiasa dibuat di sekolah kepada murid-murid,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here