‘Seperti mempunyai lesen memandu yang sah tetapi terlanggar peraturan jalan raya’ – DDNK jelas penggantungan lesennya

0
22
DNK

CYBERJAYA – Pakar saham terkenal, Datuk Dr. Nazri Khan (DDNK) mengesahkan Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal miliknya telah digantung selama enam bulan berkuat kuasa 6 Oktober lalu oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Beliau berkata, penggantungan itu disebabkan beliau terlepas pandang beberapa perkara.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk menyatakan hal ini secara tidak langsung telah memberi pencerahan dan pengesahan kepada umum bahawa saya merupakan seorang pengurus wang berlesen.

“Sebenarnya isu ini boleh digambarkan seperti kita mempunyai lesen memandu yang sah tetapi kita terlanggar peraturan jalan raya.

“Perkara ini berlaku dikala keghairahan saya untuk menolong dan membantu melahirkan lebih ramai pelabur berjaya terutamanya pelabur bumiputera dan menyebabkan saya terlepas pandang beberapa perkara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Nazri Khan berkata, sehubungan itu beliau secara rasmi akan menghantar surat rayuan kepada pihak SC dan memberi penjelasan berkenaan situasi semasa serta langkah-langkah proaktif yang telah diambil bagi menyelesaikan dan menambah baik setiap isu yang berlaku.

“Adalah ditegaskan di sini bahawa saya DDNK, sentiasa menjaga kepentingan semua pihak sepenuh hati secara profesional termasuk orang ramai, para pelabur dan bakal pelabur.

“Dalam tempoh penggantungan dan rayuan ini, segala tugas rasmi saya di Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd akan diambil alih oleh rakan setugas saya yang juga pengurus wang berlesen seperti saya, iaitu Heddy Humaizi Hussain,” katanya.

Sementara itu, Nazri Khan turut meluahkan rasa kecewa dengan spekulasi tidak benar yang tular di media sosial melibatkan isu berkenaan.

Susulan itu, katanya, satu laporan polis telah diambil terhadap individu tertentu yang telah mengambil kesempatan mensensasikan isu berkenaan bagi bertujuan menimbulkan tanggapan negatif dan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai terutama para pelabur sedia ada.

“Hari ini, bertarikh 14 Oktober 2022, satu laporan polis telah dibuat terhadap sebuah akaun Facebook yang telah menyebarkan dan menularkan informasi palsu berkenaan saya.

“Perlu ditegaskan di sini, pihak saya sentiasa bersikap profesional bagi melindungi kepentingan semua para pelabur kami dalam mematuhi semua garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak SC,” ujarnya.

Sementara itu, Nazri Khan turut menjelaskan bahawa syarikat pendidikan pelaburan, Vega Hermosa International Sdn Bhd dan Syarikat Berlesen Inter-Pacific Asset Management merupakan dua agensi yang berbeza dan tiada kaitan antara satu sama lain.

“Vega Hermosa International Sdn Bhd tiada sebarang kaitan atau kepentingan dalam isu penggantungan lesen yang sedang berlaku ini.

“Kempen dan program dan seminar pendidikan pelaburan adalah dijalankan sepenuhnya oleh Syarikat Vega Hermosa International sahaja tanpa melibatkan Syarikat Berlesen Inter-Pacific Asset Management,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here