Seramai 24,237 pekebun kecil di Pahang bakal terima Bantuan Musim Tengkujuh bulan depan, Disember ini

0
27
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap dalam Program Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia di Bera, hari ini.

BERA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan seramai 24,237 pekebun kecil di Pahang bakal menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) pada bulan hadapan dan Disember ini.

Perdana Menteri berkata, bantuan itu disediakan dengan peruntukan berjumlah RM14.54 juta.

“Insya-Allah, pada tahun depan, jika kerajaan saya dipilih semula pada PRU15, BMT ini akan ditambah sebanyak RM200 kepada RM800 dengan peruntukan sebanyak RM256 juta selama empat bulan kepada pekebun kecil RISDA dan FELDA seramai 320,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia di Bera, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru pekebun kecil agar merebut peluang yang disediakan melalui pelbagai program dan bantuan pembangunan demi meningkatkan pendapatan.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa komited memastikan segala inisiatif dan bantuan itu sampai kepada komuniti pekebun kecil.

“Sektor komoditi adalah salah satu sektor penting yang menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kerajaan sentiasa komited memastikan segala inisiatif dan bantuan dapat disalurkan demi kemakmuran dan kesejahteraan komuniti pekebun kecil.

“Besarlah harapan saya agar semua pekebun kecil terutama di negeri Pahang untuk terus mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui program dan bantuan pembangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan RISDA,” katanya.

Malah katanya, tanaman getah merupakan satu-satunya komoditi yang masih diberi bantuan penuh oleh kerajaan melalui Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sekiranya harga pasaran getah berada di bawah paras RM2.50 sekilogram.

Katanya lagi, selain IPG kerajaan turut memperkenalkan Program Tanam Semula Getah dengan sasaran keluasan 20,000 hektar yang kini sudah melebihi 10,000 hektar dengan penyertaan sebanyak 7,180 pekebun kecil.

Kerajaan juga memperkenalkan Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) melibatkan peruntukan sebanyak RM31.1 juta bagi mencapai pengeluaran hasil sebanyak 1,800kg per hektar per tahun dalam usaha meningkatkan pendapatan menerusi produktiviti hasil getah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here