Seramai 73,642 pekebun kecil getah terima manfaat pelbagai program RISDA Kedah

0
17
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berucap sempena Majlis Pekebun Kecil Makmur RISDA Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

PADANG TERAP – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyalurkan lebih RM50 juta bagi membangunkan pekebun kecil getah di Kedah.
 
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penyaluran peruntukan itu memberi manfaat kepada 73,642 orang pekebun kecil getah di negeri itu.

“Bagi tujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil, Skim Insentif Lateks (SIL) diperkenalkan dengan bantuan berjumlah RM479,000 telah memanfaatkan seramai 165 orang pekebun kecil di daerah Baling, Sik, Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Langkawi dan juga kawasan Padang Terap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pekebun Kecil Makmur RISDA Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan RISDA, Ali Sabuddin Abd Samad dan Pengarah RISDA Kedah, M. Azmi Mohd Mohid.

Jelas Mahdzir, antara program pembangunan di bawah RISDA termasuk Program Tanam Semula Getah, Program Produktiviti Dan Pemasaran, Program Hasil Baharu serta Program Keusahawanan.


Mengenai program tanam semula getah, Mahdzir berkata RISDA Kedah diberi tanggungjawab untuk membangunkan sejumlah 2,500 hektar penanaman getah tahun ini.
 
Jelasnya, setakat ini, RISDA Kedah telah berjaya melaksanakan program itu seluas lebih 1,551 hektar yang melibatkan 1,327 pekebun kecil.
 
“Ini menunjukkan prestasi yang baik dalam keadaan cuaca dan ekonomi yang agak tidak menentu dalam memastikan produktiviti getah terus dapat dipertingkatkan.

Bagi tujuan sokongan kepada program tanam semula getah, RISDA turut menyediakan Bantuan Angkut Input Pertanian seperti benih getah dan baja ke kawasan pedalaman di Pulau Langkawi dan Pulau Tuba,” katanya.
 
Selain itu kata Mahdzir, Skim Getah Matang di bawah Program Produktiviti dan Pemasaran juga disediakan dengan peruntukan berjumlah RM10.59 juta yang memberi manfaat kepada 5,801 orang pekebun kecil tahun ini.
 
“Bantuan prasarana seperti jalan pertanian dan pembentung yang melibatkan peruntukan RM6.27 juta juga disediakan dimana 41 projek prasarana telah dibina setakat ini di seluruh negeri Kedah.

“Manakala Program Skim Getah Matang dengan peruntukan bernilai RM10.59 juta telah memberi manfaat kepada 5,801 pekebun kecil,” ujarnya.
 
Turut dilaksana, katanya, ialah Program Pembangunan Usahawan kepada 168 orang usahawan bimbingan RISDA yang melibatkan peruntukan berjumlah RM4.6 juta.

“Melalui program yang sama, RISDA Kedah setakat ini telah berjaya membangunkan keseluruhan seramai 1,495 usahawan dalam pelbagai bidang perkhidmatan dan 202 orang terdiri daripada usahawan di Padang Terap”, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here