Shafee Abdullah dibebas dari tuduhan pengubahan wang haram

0
13
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Razak dan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut laporan BH Online, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Shafee.

Muhammad Jamil berkata, mahkamah tidak bersetuju dengan pihak pendakwaan berhubung elemen yang perlu dibuktikan dalam kesalahan terhadap tertuduh.

Saksi kelapan pendakwaan dalam keterangannya juga mengesahkan tiada aktiviti haram yang berlaku dan penerimaan RM4.3 juta dan RM5.2 juta diterima tertuduh melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib adalah hasil daripada aktiviti haram.

“Saya dapati tiada keterangan langsung menunjukkan kesalahan predikat (kesalahan asal) yang menunjukkan dua keping cek diterima adalah hasil aktiviti haram.

“Sebaliknya saksi pendakwaan sendiri ketika disoal balas telah mengesahkan bahawa tiada aktiviti haram berlaku ketika cek diterima dan cek itu bukan hasil aktiviti haram.

“Adalah tidak selamat untuk memanggil tertuduh membela diri, dengan itu tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa membela diri,” kata Hakim Muhammad Jamil.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan membabitkan diri dengan aktiviti pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Peguam itu juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi berkaitan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul dan bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021.

Muhammad Shafee diwakili peguam utama Harvinderjit Singh manakala Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz bertindak bagi pihak pendakwaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here