Silibus sekolah bukan baru, sudah mula digunakan sejak 2017 – tegas Radzi

0
14
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin

SHAH ALAM – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menegaskan silibus yang digunakan di sekolah bukan baru dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), sebaliknya ia sudah mula digunakan sejak 2017.

Malah katanya, silibus berkenaan telah digubal lebih awal daripada itu.

“Ini bukan silibus Radzi Jidin. Silibus ini mula digunakan pada 2017 dan untuk bangunkan silibus ini, ia ambil masa dan prosesnya bermula lebih lama dari itu dan dibangunkan oleh guru dan pegawai pendidikan.

“Selepas digubalkan, kita tak boleh tukar secara kerap kerana akan sukarkan guru dan murid untuk sesuaikan diri dengan silibus baharu. Pendekatan kita adalah setiap silibus akan dinilai semula selepas habis satu pusingan.

“Ini bererti murid darjah 1 yang mula menggunakan silibus ini pada 2017 akan berakhir satu pusingan apabila mereka masuk darjah 6 tahun ini. Jadi, silibus untuk sekolah rendah selesai tahun ini, manakala sekolah menengah sudah selesai tahun lalu.

“Apabila selesai pusingan ini, KPM akan meneliti semula silibus. Ini kita sedang laksanakan dan KPM menghargai pandangan guru dan ibu bapa berhubung isu silibus ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Reading Progress Di Sekolah KPM di sini, hari ini.

Radzi bekata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa pihak yang mengambil kesempatan dan cuba mempolitikkan isu silibus pembelajaran, ketika ini.

Ia selepas guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh yang mendedahkan mengenai beban murid yang terpaksa berhadapan dengan silibus pelajaran yang terlalu tinggi bakal dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan tersebut.

Malah, Mohd Fadli mendedahkan tindakannya membangkitkan mengenai isu silibus serta beberapa perkara lain seperti beg berat, bilangan murid yang ramai dalam satu kelas serta kewujudan ‘Little Napoleon’ dalam sistem pendidikan, menyebabkan beliau bakal dikenakan tindakan tatatertib buang kerja atau turun pangkat.

Berhubung tindakan ahli politik yang cuba menjadikan isu dibangkitkan Mohd Fadli sebagai modal menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Radzi menegaskan semua pihak perlu mengasingkan politik daripada pendidikan.

“Kalau nak politikkan, saya boleh kata silibus ini mula zaman Barisan Nasional (BN) pada 2017, dan terus berjalan ketika zaman Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

“Namun, ini bukan caranya. Dalam pendidikan, kita perlu jauhkan daripada politik. Kita perlu tukar pendekatan dalam agenda pendidikan dan perlu bekerjasama untuk melakukan penambahbaikan,” katanya.

Sementara itu menyentuh mengenai dakwaan salah lakuĀ terhadap Mohd Fadli, katanya, beliau tidak boleh campur tangan dalam sebarang keputusan daripada Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

Radzi berkata, ini kerana ia bukan berada dalam bidang kuasanya.

“Saya tidak boleh (dedahkan). Itu bukan dalam ruang lingkup saya sebagai Menteri Pendidikan untuk masuk campur dalam urusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

“Ia ada ‘border’ (batasan) di mana keputusan itu akan dihantar kepada cikgu tersebut melalui ketua jabatan pada hari ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here