Spekulasi bubar Parlimen: PM jumpa Zahid Hamidi selepas menghadap Agong

0
60
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu pertemuan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejurus selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara petang tadi.

Menurut laporan sebuah portal berita, pertemuan itu berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Difahamkan perjumpaan itu bagi membincangkan mengenai soal pembubaran Parlimen.

Sementara itu, laporan tersebut yang memetik sumber UMNO turut memaklumkan pertemuan itu berlangsung dalam suasana harmoni.

“Ya, Perdana Menteri sedang bertemu presiden. Dalam suasana harmoni,” katanya.

Terdahulu Ismail Sabri meninggalkan Istana Negara pada jam 4.44 petang tadi selepas menghadap yang di-Pertuan Agong kira-kira sejam.

Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Jumaat lalu menetapkan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi memberi laluan untuk PRU15 diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan kesepakatan itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti itu dilaporkan akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here