Sultan Perak belum perkenan pembubaran DUN

0
16
Shaarani Mohamad pada sidang media selepas menghadap Sultan Perak bagi memohon perkenan pembubaran DUN. – Sumber: FB Bernama Radio

IPOH – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah belum memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga baginda membuat pertimbangan mengenai perkara itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu diperkenankan baginda sultan selepas sesi mengadap di Istana Kinta, di sini pada 2.30 petang ini.

“Pada sesi menghadap Paduka Seri Tuanku, saya telah menyembah maklum pengumuman Perdana Menteri mengenai pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Paduka Seri Tuanku telah bertitah bahawa baginda mengambil maklum mengenai permohonan dikemukakan dan akan membuat pertimbangan yang sewajarnya,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Beliau berkata, pada sesi mengadap itu, beliau telah menyembah warkah permohonan pembubaran DUN Perak ke 14 selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

“Saya menyembah maklum mengenai syor oleh Perdana Menteri supaya ketua-ketua kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi pembubaran DUN untuk membolehkan pilihan raya diadakan secara serentak,” katanya.

Justeru katanya, penetapan mengenai tarikh pembubaran DUN Perak akan diumumkan selepas Duli Yang Maha Mulia Tuanku mencapai keputusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here