Tender dimonopoli kartel, MBSA diserbu SPRM

0
83
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan kewujudan kartel dalam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dipercayai memonopoli tender projek mega di bandar raya berkenaan.

Difahamkan, kartel itu turut membabitkan pengurusan tertinggi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan yang mempunyai kuasa untuk menyerahkan tender secara runding terus kepada pihak tertentu.

Memetik laporan Berita Harian, kesan kehadiran kartel itu menyebabkan hanya pihak tertentu yang dipercayai rapat dengan kartel dilantik menjadi kontraktor projek sekali gus mengakibatkan projek yang diberikan itu tidak dilaksanakan seperti yang dikehendaki.

Sumber berkata, antara projek yang dikesan dimonopoli kartel adalah tebatan banjir Shah Alam Sustainable Urban Drainage Masterplan (SASuD – Pelan Tindakan Banjir Shah Alam) yang bernilai hampir RM400 juta.

“Ia diagihkan kepada syarikat kartel dan kroni membabitkan pihak pengurusan tertinggi dan Ahli Majlis MBSA.

“SPRM juga mengesan terdapat kerja yang dipecahkan kepada projek kecil dan bertindih dengan fungsi projek yang sepatutnya di bawah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut dimasukkan di bawah projek ini.

“Terdapat juga projek yang langsung tiada kaitan dengan projek SASuD dimasukkan di bawah pelan induk tebatan banjir ini,” kata sumber.

Sebelum ini dilapor MBSA peruntukkan kira-kira RM157 juta bagi beberapa perancangan menerusi SASuD yang akan merangkumi tiga fasa iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Antara hala tuju penyediaan pelan tindakan banjir Shah Alam adalah menaik taraf sistem perparitan utama perbandaran ke arah reka bentuk minimum yang boleh ditampung selama 50 tahun average recurrance interval (ARI).

Malah, kata sumber berkenaan, kartel itu dipercayai wujud bagi semua projek bukan saja membabitkan tebatan banjir.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi BH mengenai perkara itu menjelaskan pihaknya sedang menyiasat mengenai projek tebatan banjir itu termasuk berkaitan kewujudan kartel berkenaan.

Beliau berkata, terbaru tiga individu ditahan reman selepas SPRM menyerbu ibu pejabat MBSA Isnin lalu bagi membantu siasatan mengenai penyelewengan bagi projek SASuD itu.

Datuk Bandar Shah Alam, Zamani Ahmad Mansor, ketika dihubungi semalam mengesahkan kehadiran pegawai SPRM di ibu pejabat MBSA di Seksyen 14 pada Isnin lalu, tetapi tidak maklum tujuan mereka.

“Memang benar tetapi bukanlah serbu, saya juga tidak pasti, cuma kita belum dapat maklumat sebenar kes apa yang disiasat.

“Kita masih belum mendapat penjelasan lanjut daripada SPRM. Pihak SPRM sahaja yang boleh mengesahkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here