Tidak ada paksaan kepada UMNO bahagian sokong Ismail Sabri sebagai PM10

0
11

KUALA NERANG – UMNO bahagian di seluruh negara tidak menerima sebarang arahan atau dipaksa oleh mana-mana pihak untuk menyokong usul Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus menerajui kepemimpinan negara sebagai Perdana Menteri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usul itu adalah suara akar umbi di peringkat bahagian yang membawa usul itu tanpa bahas pada mesyuarat perwakilan bahagian semalam.

“Perkara ini tidak ada arahan, ia terpulang kepada UMNO bahagian masing-masing.

Jadi, semalam itu, bahagian ambil inisiatif sendiri, kita sealiran dengan keputusan MKT UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, di sini, hari ini.

Tambah Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, usul Ismail Sabri menjadi poster boy dan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah berasaskan kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, yang bersetuju meletakkan beliau sebagai calon Perdana Menteri.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, bahagian itu turut meluluskan usul menyokong penuh Ismail Sabri untuk terus menerajui kepemimpinan negara sebagai Perdana Menteri secara sebulat suara.

UMNO Padang Terap turut meluluskan usul memberi kepercayaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta kepemimpinan menyusun strategi memperkukuhkan UMNO.

Usul itu jelas Mahdzir, tidak menimbulkan sebarang konflik kerana ianya hasil persetujuan Ahmad Zahid sendiri yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.

Mengulas mengenai jumlah kerusi boleh dimenangi di Parlimen Kedah pada PRU15, beliau yakin akan menang lebih daripada dua kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU14 lalu.

“Pada PRU14, kita menang dua kerusi Parlimen di Kedah, kita ada keyakinan untuk menang lebih daripada dua tapi sasaran itu, saya tak boleh beritahu sekarang, saya akan maklumkan nanti,” kata Mahdzir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here