Tiktoker terkenal, Hasif Upin belanja 500 penunggang motosikal petrol percuma di Balok

0
25
Penyandang Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah hadir secara mengejut ke program itu ketika sedang melakukan lawatan di kawasan berkenaan.

KUANTAN – Lebih 500 penunggang motosikal terutama penduduk tempatan menerima sumbangan minyak petrol percuma di Stesen Minyak BHPetrol di Balok hari ini.

Program bantuan yang dinamakan Program Minyak Motosikal Percuma dianjurkan oleh Tiktoker terkenal, Hasif Upin sebagai inisiatif membantu komuniti setempat yang terkesan dengan kenaikan kos hidup ketika ini.

Hasif atau nama sebenar Muhammad Hasif Sharauddin berkata, program yang berlangsung selama dua jam itu diharap dapat membantu meringankan sedikit bebanan untuk pengguna motosikal.

“Saya memang gemar berkongsi video kandungan yang berunsurkan kebajikan kepada pengikut-pengikut agar ia dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk prihatin dengan masalah orang.

“Justeru saya berharap sumbangan ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah agar dapat mengurangkan beban tanpa perlu mengisi minyak untuk beberapa hari akan datang,” katanya di sini.

Sementara itu, Program Minyak Motosikal Percuma turut dikejutkan dengan kehadiran penyandang Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang ketika sedang melakukan lawatan di kawasan sekitar.

Beliau yang juga Menteri Luar memuji insiatif Hasif sebagai anak muda yang prihatin dan memahami keperluan golongan masyarakat lain walaupun memiliki nama besar dan pengaruh di media sosial.

“Program ini begitu menarik oleh anak muda yang membantu warga muda sejajar dengan matlamat saya dalam memberi bantuan kebajikan kepada orang lain.

“Saya gembira dan berbangga dengan aktiviti minyak percuma yang dianjurkan oleh Hasif Upin kerana beliau adalah orang muda yang ingin membantu warga muda yang juga sejajar dengan matlamat saya membantu seramai mungkin masyarakat di Parlimen Indera Mahkota,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here