Tindakan 12 menteri PN serah warkah kepada Agong cetus ketidakharmonian dalam kerajaan

0
30
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Tindakan 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini telah mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan menteri terbabit jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, bahkan sejak akhir-akhir ini ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan.

“Malah, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan.

“Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) pernah membuat kenyataan yang menyarankan supaya Parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada kenyataan media Istana Negara semalam yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.

Ismail Sabri juga menegaskan, kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia.

Katanya, negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang.

“Seperti yang saya jelaskan dalam Perutusan Khas semalam, pembubaran Parlimen ke-14 ini adalah menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here