[VIDEO] Todak Academy tawar biasiswa penuh kepada 300 pelajar berminat ceburi industri e-Sukan

0
123
Mohamad Taufik Rizal (kanan) Khairul Azlan (tengah) dan Ahmad Fadli Dahlan (kiri) melancarkan Todak Belajar di Cyberjaya hari ini.

CYBERJAYA – Todak Academy dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menawarkan latihan secara percuma kepada golongan belia yang berminat dengan industri sukan elektronik (e-Sukan) untuk mempelajari kemahiran terkini membabitkan pembangunan permainan digital.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Todak Holdings Sdn Bhd, Khairul Azlan Zainal Ariffin berkata, menerusi program di bawah Dana Perkasa TVET 1.0 itu pihaknya akan menaja seramai 300 pelajar.

Todak Academy tawar biasiswa penuh kepada 300 pelajar berminat ceburi industri e-Sukan

Beliau berkata, pelajar tersebut akan mengikuti kelas ‘3D Game Asset Production’ dan ‘2D Game Visual Art’.

“Kami ingin membantu penggiat industri, graduan dan mahasiswa yang bekerja dengan syarikat berasaskan industri seni dengan menyediakan biasiswa penuh kepada 300 pelajar yang ingin menyambung pendidikan di Todak Academy.

“Mereka akan dilatih oleh tenaga pengajar dari Todak Studio sendiri yang mengumpulkan pembangun animasi dan pereka permainan digital terbaik.

“Selepas menjalani latihan selama tiga bulan, pelajar akan dianugerah Sijil Profesional UTMSPACE, Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dan Sijil Todak,” katanya ketika merasmikan kempen Todak Belajar di sini, hari ini.

Turut hadir CEO Todak Studios, Ahmad Fadli Ahmad Dahlan yang lebih dikenali sebagai Neo Todak dan CEO Todak Academy, Mohamad Taufik Rizal Aminuddin.

Sementara itu, Mohamad Taufik berkata, setakat hari ini 70 individu sudah mendaftar program ini.

Katanya, mana-mana individu yang berminat menyertai program itu dan mempunyai tiga tahun pengalaman boleh mendaftar melalui laman sesawang Todak Academy Sdn Bhd.

“Pelajar masuk secara percuma kerana program ini ditaja sepenuhnya oleh Todak Academy yang bernilai RM10,000 setiap seorang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here