‘Top 5’ UMNO setuju tarikh PRU – Sumber

0
24
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Lima pemimpin tertinggi UMNO difahamkan telah mencapai kata sepakat mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Portal FMT yang memetik sumber dalaman parti melaporkan, tarikh itu bagaimanapun tidak didedahkan kepada pemimpin lain kerana tidak mahu dilihat sebagai mendahului Yang di-Pertuan Agong.

Satu lagi sumber memberitahu, tarikh PRU15 diberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada pemimpin lain ketika mesyuarat berkenaan.

Seorang ketua bahagian dari Sabah berkata, semua ketua bahagian bersemangat ketika perjumpaan itu selepas mengetahui tarikh PRU15 sudah ditetapkan.

“Tarikh itu sudah dibincangkan oleh lima pemimpin tertinggi tetapi kami tidak diberitahu bila PRU15 akan diadakan,” katanya.

Sementara itu, seorang ketua Pemuda dari Pahang berkata, dia percaya tarikh PRU15 akan diumumkan tidak lama lagi.

“Saya berharap Parlimen dibubarkan pada minggu depan bagi memberi masa kepada Umno untuk membuat persediaan berdepan PRU15 pada November ini.

“Saya rasa penamaan calon akan diadakan pada awal November dan PRU15 mungkin pada pertengahan November. Kami cuba mengadakan PRU15 sebelum akhir November untuk mengelak musim banjir,” katanya.

Jumaat lalu, pemimpin UMNO mengesahkan PRU15 akan diadakan pada tahun ini dan Ismail Sabri diberi kebebasan memilih tarikh mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Majlis Kerja Tertinggi Umno bersetuju Parlimen dibubarkan segera dengan PRU akan diadakan pada tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here