Tun Daim luah simpati nasib bekas pekerja Utusan

0
113
Pertemuan Tun Daim (duduk) dengan wakil Badan Keluarga Utusan Melayu hari ini.

KUALA LUMPUR – Tokoh konglomerat terkenal, Tun Daim Zainuddin melahirkan simpati kepada nasib bekas pekerja Utusan Melayu (Utusan) yang masih menunggu pampasan dari bekas majikan walaupun syarikat akhbar tertua itu telah tiga tahun ditutup.

Dalam pertemuan selama 45 minit dengan lima bekas pekerja Utusan di pejabatnya di Menara Ilham, Kuala Lumpur hari ini, beliau menyatakan sokongan kepada perjuangan bekas kakitangan Utusan yang dianggap teraniaya dalam kes itu.

“Kalau nak tutup syarikat tutup la, bayar lah apa yang patut kepada pekerja,” katanya yang banyak memberi semangat dan nasihat mengenai tindakan yang boleh diambil dalam perjuangan bekas pekerja Utusan menuntut hak.

Perjumpaan diketuai oleh Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu, Saifol Bakhtiar Hamik.

Tun Daim yang memanggil pertemuan itu menasihatkan agar kumpulan gerakan perjuangan menuntut hak itu tidak ‘menyerah kalah’ dan terus berusaha.

Beliau turut mengesyorkan supaya bekas pekerja Utusan mendapatkan ehsan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk campur tangan.

“Penutupan Utusan sememangnya satu peristiwa menyedihkan kerana ia adalah satu entiti yang melambangkan perjuangan orang-orang Melayu sejak zaman sebelum merdeka,” katanya.

Ahad ini genap syarikat Utusan Melayu ditutup selama tiga tahun dengan kaedah penggulungan sukarela, bagaimanapun tiada sebarang pampasan diberikan kepada kira-kira 1,500 bekas pekerja dan pengambil skim pemberhentian sukarela (VSS).

Sabtu lepas, seramai 300 orang bekas kakitangan Utusan mengadakan perjumpaan semula sempena memperingati ‘kematian’ syarikat akhbar Melayu tertua itu di hadapan bekas bangunan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Perjumpaan yang diadakan sempena memperingati ulang tahun ketiga penutupan Utusan itu mencatat sejarah tersendiri kerana dihadiri oleh wakil semua bekas pekerja tanpa mengira status dan kali pertama pernah diadakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here