Tun M sifatkan pembubaran Parlimen berlaku selepas Ismail Sabri hilang sokongan

0
10
Dr Mahathir Mohamad

CYBERJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengekalkan kedudukannya selepas kehilangan majoriti kepercayaan Ahli Parlimen.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, jawatan Perdana Menteri yang disandang Ismail perlu digantikan selepas tindakan 12 menteri dari Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong meminta agar Parlimen tidak dibubarkan.

Dr Mahathir menyamakan situasi tersebut sama seperti Ismail Sabri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kehilangan sokongan majoriti pada tahun lalu.

“Jika Mahiaddin (Muhyiddin) dijatuhkan kerana hilang majoriti dan diganti dengan Ismail Sabri, kenapa kehilangan sokongan, Ismail tidak letak jawatan dan partinya naikkan Perdana Menteri lain.

“Tidak perlu bubar Parlimen,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak mendakwa Ismail Sabri telah kehilangan sokongan sebagai perdana menteri selepas 12 menteri dari Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong meminta agar Parlimen tidak dibubarkan.

Penyerahan surat kepada YDPA itu dilihat telah menjejaskan kedudukan Ismail sebagai Perdana Menteri dan pembubaran Parlimen adalah perlu bagi mengelak ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

Dalam reaksinya, Ismail Sabri berkata, tindakan menteri menulis surat kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai kurang bijak.

Untuk rekod, Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos tahun lalu selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here