Ubat batuk yang diharamkan di Indonesia tidak didaftar di Malaysia

0
39

CYBERJAYA – Lima produk ubat batuk yang diharamkan penggunaannya di Indonesia kerana dipercayai menyebabkan kematian 99 kanak-kanak tidak didaftarkan di negara ini.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Norhaliza A. Halim berkata, semakan lanjut ke atas laman sesawang Badan Pengawas Obat dan Makanan-Republik Indonesia, www.pom.go.id mendapati lima produk sirap tersebut iaitu Termorex Sirup, Flurin DMP Sirup, Unibebi Cough Sirup, Unibebi Demam Sirup dan Unibebi Demam Drops dikesan mengandungi ethylene gycol melebihi had dibenarkan.

“Semakan ke atas pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mendapati bahawa kelima-lima produk tersebut tidak berdaftar di Malaysia,” kata Norhaliza dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, NPRA akan menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin.

Rabu lalu, Indonesia mengumumkan pengharaman semua ubatan bersirap, preskripsi ubat cecair dan penjualan di kaunter susulan kematian hampir 100 kanak-kanak akibat kecederaan akut buah pinggang (AKI) tahun ini.

Larangan berkenaan dibuat ketika pihak berkuasa kesihatan negara di Asia Tenggara itu menyiasat peningkatan yang tidak dapat dijelaskan sejak Januari berhubung jumlah kematian kanak-kanak akibat penyakit berkenaan.

Sehingga kini, 99 kanak-kanak meninggal akibat AKI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here