Zahid Hamidi tempelak gabungan politik yang tidak mahu bubar DUN sebagai tamak kuasa

0
23
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sikap negeri yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Parlimen dibubarkan semalam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai tamak kuasa.

Beliau berkata, gabungan politik tamak kuasa itu enggan menyerahkan kembali hak dan mandat rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu kerana bimbang tidak dapat kekal sebagai kerajaan.

“Gabungan politik tamak kuasa adalah sesuai untuk yang enggan membubarkan DUN dikuasai mereka agar terus kekal mempertahankan kuasa.

“Enggan menyerahkan kembali hak dan mandat rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu kerana bimbang tidak dapat kekal sebagai kerajaan.

“Sanggup menyebabkan pembaziran untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan gara-gara khuatir akan kehilangan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, naratif yang sedang dipropagandakan oleh musuh ketika ini Barisan Nasional (BN) tamak kuasa apabila meminta PRU15 diadakan.

“Dalil baharu yang bertujuan mencipta persepsi jahat terhadap BN itu terpesong jauh daripada kebenaran mengenai tujuan sesebuah pilihan raya.

“Pertamanya, sesebuah pilihan raya termasuk PRU15 bermaksud menyerahkan kembali hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu.

“Pilihan raya umum, kecil mahupun negeri adalah sebuah proses demokrasi melalui peti undi yang boleh disertai mana-mana parti politik atau individu yang layak,” katanya.

Tegas Ahmad Zahid, PRU15 bukan upacara menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada BN tanpa ada pertandingan, sebaliknya sebuah proses undian rakyat yang menentukan.

Beliau berkata, adalah tidak benar jika menuduh BN sebagai tamak kuasa sedangkan yang berlaku pada PRU15 adalah rakyat diberi mandat dan kuasa sepenuhnya untuk menentukan masa depan negara.

“BN jika tamak kuasa seperti mereka boleh tidak membenarkan negeri yang ditadbirnya tidak membubarkan DUN, namun bukan itu tujuan politik BN.

“Alasan risiko ‘banjir besar’ juga sudah tidak lagi relevan sekiranya SPR menetapkan PRU15 berlangsung sebelum pertengahan November depan.

“Rakyat perlu menolak gabungan tamak kuasa terbabit yang jelas tidak peduli masa depan rakyat dan negara kecuali kepentingan politik mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here