Zul Ariffin mahu pelakon ambil iktibar, jangan akur dengan tuntutan 

0
49
Pelakon, Zul Ariffin dalam satu sidang media di Mahkamah Sesyen Jenayah (2) Sepang di sini, hari ini. Kredit foto – Najmi Zulkefle

SEPANG – Pelakon popular tanah air, Zul Ariffin mengingatkan penggiat seni untuk mengambil iktibar susulan selepas dia dijatuhkan hukuman hari ini kerana memuat naik klip video bersifat sumbang pada Mac tahun ini. 

Menurut Zul Ariffin, pelakon-pelakon di luar sana perlu berhati-hati dengan permintaan daripada pihak produksi sekiranya diminta untuk  mempromosikan sesebuah filem atau drama. 

“Kita semua buat silap, sekurang-kurangnya ini akan menjadi pengajaran kepada orang dan pelakon di luar sana. Jadi kalau disuruh ‘post’ tu jangan akur sangat.

“Kalau disuruh sampai beria-ria untuk ‘bakar’ dan tujuan promosi berhati-hati jadikan saya sebagai contoh,” katanya selepas kes perbicaraan di mahkamah hari ini.

Zul Ariffin yang sering diberikan dengan watak ‘hero’ drama Melayu juga berkata, pengakuan bersalah yang dibuat adalah kerana tidak mahu memanjangkan isu tersebut. 

“Secara jujurnya begini, saya tahu salah saya sebab muat naik, jadi kalau saya tidak mengaku bersalah perkara ini akan berterusan, saya tidak mahu hidup dengan rasa seperti itu. 

“Saya anggap saya bersalah bukan semata-mata sebab kelakuan saya, saya bersalah dengan Allah jadi saya ambil langkah berani untuk mengaku bersalah sahaja saya hadap dan terima hukuman ini,”ujarnya lagi. 

Mengulas lanjut, Zul Ariffin juga berterima kasih kepada semua yang menyokongnya  serta berasa terharu atas sokongan yang diberikan.

“Saya berasa lega, Alhamdulillah dengan pasukan peguam, kawan-kawan yang bagi nasihat dan sokongan bagi saya sangat-sangat terharu,” katanya. 

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Jenayah (2) Sepang hari ini menjatuhkan hukuman denda RM30,000 kepada Zul Ariffin selepas dia mengaku bersalah melakukan  kesalahan memuat naik klip video bersifat sumbang dengan menggunakan akaun Instagramnya pada 18 Mac 2022. 

Dia didakwa di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here