Zul Ariffin mengaku bersalah muat naik klip video sumbang didenda RM30,000

0
34
Pelakon lelaki terkenal, Zul Ariffin (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah (2) Sepang di sini, hari ini. Kredit foto – Najmi Zulkefle.

SEPANG – Pelakon lelaki terkenal, Zul Ariffin,36, mengaku bersalah atas kesalahan memuat naik klip video bersifat sumbang yang tular pada bulan Mac tahun ini. 

Tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Noorhisham Mohd Jaafar di Mahkamah Sesyen Jenayah (2) Sepang di sini, hari ini. 

Sehubungan dengan itu, mahkamah mengenakan hukuman denda RM30,000 dan turut memerintahkan tertuduh menjalani penjara selama 9 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sedar didakwa melakukan  kesalahan memuat naik klip video bersifat sumbang dengan menggunakan akaun Instagramnya pada 18 Mac 2022. 

Tertuduh didakwa di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.

Dalam pada itu, Zul Ariffin yang diwakili Peguam Sivaram Prasad dan Saresh Mahendaren kelihatan tenang selepas tamat perbicaraan. 

Terdahulu, ‘hero’ drama Melayu itu telah menimbulkan kontroversi apabila berkongsi babak sensual yang berganding dengan heroin sebuah drama televisyen. 

Rakaman tersebut walaubagaimanapun telah mengundang kecaman warga maya sehingga beliau memadam kandungan tersebut selain tampil memohon maaf atas tindakannya itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here