224,828 pengundi awal tunaikan tanggungjawab esok – SPR

0
5
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Sebanyak 224,828 orang pengundi awal akan membuang undi pada proses undian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah, esok.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan, para pengundi awal tersebut terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan, serta 107,355 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) di seluruh negara.

Sebanyak 578 Pusat Mengundi Awal telah diwartakan pada proses membuang undi kali ini.

“Pusat Mengundi Awal yang telah ditetapkan SPR akan dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

“Namun terdapat beberapa Pusat Mengundi Awal yang akan ditutup lebih awal. Oleh yang demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan SPR atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 atau 03-88880040, atau melalui aplikasi MySPR Semak,” kata SPR dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Pada pengundi awal yang positif Covid-19, SPR menyarankan supaya berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal nanti.

“Proses pengundian awal ini akan turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding.

“SPR akan turut menyiarkan proses pengundian ini secara live streaming menerusi Facebook SPR di beberapa Pusat Mengundi Awal yang terpilih,” kata kenyataan itu lagi.

SPR seterusnya menjelaskan, kesemua kertas undi awal tidak akan dikira dan akan disimpan di lokap-lokap balai polis untuk jagaan selamat.

“Kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada 19 November 2022, bermula jam 4.00 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing,” kata SPR lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here