5 Tunjang dan 50 Tawaran disediakan kepada penduduk Putrajaya jika PN menang PRU15 – Radzi

0
17
Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin menunjukkan 50 Tawaran Era Bahru Putrajaya pada Pelancaran 50 Tawaran di Sunset Glashaus, Putrajaya di sini, hari ini. Malakat Tribune

PUTRAJAYA – Calon kerusi Parlimen Putrajaya dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin hari ini melancarkan Tawaran #EraBaharuPutrajaya yang mengandungi 5 Tunjang dan 50 Tawaran kepada pengundi di sini.

Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata, ini merupakan satu tawaran yang menyeluruh dan dihasilkan melalui input serta maklum balas daripada warga Putrajaya, antaranya jemaah surau, komuniti, persatuan Orang Kurang Upaya, pesara kerajaan, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), kumpulan belia serta anak muda Putrajaya.

Beliau berkata, lima tunjang itu melibatkan penduduk Putrajaya, pendidikan, ekonomi, anak muda dan infrastruktur serta kemudahan awam.

“Tawaran #EraBaharuPutrajaya demi membina warga Putrajaya yang sejahtera adalah termasuk mewujudkan sebuah pusat khidmat one stop centre, iaitu Putrajaya Care yang berperanan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Ahli Parlimen kepada warga Putrajaya.

“Di samping itu, aplikasi Putrajaya Care akan diperkenalkan sebagai platform untuk warga Putrajaya membuat aduan serta mendapatkan khidmat bantuan, tempahan fasiliti dan perkongsian informasi.

“Selain itu, Akademi Anak Putrajaya akan ditubuhkan sebagai one stop centre untuk memberi peluang kepada anak-anak Putrajaya mendapatkan akses kepada program atau aktiviti pembangunan kendiri termasuk program kepimpinan, pemerkasaan jati diri dan sahsiah, perkembangan bakat dan kerjaya, khidmat nasihat pengajian tinggi, biasiswa Kerajaan dan swasta, bantuan mencari kerja dan program pementoran bagi melahirkan generasi muda yang berdaya saing,” katanya hari ini.

Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin mengadakan Sesi Dialog ketika Pelancaran 50 Tawaran di Sunset Glashaus, Putrajaya di sini, hari ini. Malakat Tribune/Mim Fadlizal Rozaiman

Mengulas lanjut, katanya, dalam konteks kerohanian, program #NgajiPutrajaya akan dilaksanakan melalui penyediaan kelas mengaji al-Quran dengan modul lengkap untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa, termasuk penggunaan teknologi digital.

Selain itu, katanya, beliau juga akan memperkasa kebun komuniti sedia ada dengan menyediakan peruntukan sehingga RM5,000 di samping memperluas kebun komuniti baharu dengan mengoptimumkan tanah kosong milik kerajaan melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan, Perbadanan Putrajaya dan badan korporat.

Mengulas lanjut, katanya, pemberian dana sebanyak RM10,000 juga akan disediakan kepada Komuniti Rukun Tetangga (KRT) untuk melaksanakan program kemasyarakatan termasuk Skuad Rondaan Sukarela (SRS) dan pembelian peralatan kawalan keselamatan.

Menyentuh mengenai ekonomi, katanya, Putrajaya juga berpotensi untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan untuk pelancong tempatan dan luar negara dengan menambah penawaran produk pelancongan baharu bernilai tinggi.

“Bagi Tawaran #EraBaharuPutrajaya demi pendidikan generasi Putrajaya, kita menyediakan peruntukan sekurang-kurangnya RM5,000 setahun kepada PIBG untuk melaksanakan aktiviti bagi terus mendokong peranan dan sumbangan PIBG dalam membantu kemenjadian murid, menyediakan perkhidmatan bas sekolah berdaftar secara percuma untuk murid miskin untuk kemudahan ke sekolah dan bantuan awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam sebanyak RM500.

“Turut disediakan ialah bantuan #SiswaDigital untuk siswa daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan penggunaan premis kuarters kerajaan yang bersesuaian untuk pengoperasian taska dan tadika bagi membantu ibu bapa yang bekerja,” ujarnya.

Sementara itu, Radzi berkata, beliau juga berhasrat mewujudkan Kompleks Anak Muda Putrajaya dilengkapi fasiliti yang kondusif untuk kegunaan belia, NGO, siswa dan pekerja gig.

Turut ditawarkan katanya, ialah peruntukan geran pemula sebanyak RM50,000 untuk melaksanakan aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan kepada Persatuan Siswa Putrajaya dan memperkenal Program #SmartNiaga.

Beliau berkata, bagi menambahbaik kemudahan awam dan infrastruktur di sini pihaknya akan meningkatkan kualiti perkhidmatan bas awam, menambah kemudahan tempat letak kenderaan termasuk tempat letak kenderaan bertingkat serta park and ride di kawasan tumpuan seperti di kawasan pejabat dan perumahan.

Pada masa sama, katanya, turut ditawarkan ialah dana khas #SurauKita sebanyak RM20,000 setahun kepada setiap surau bagi menyokong program dan aktiviti kerohanian serta membina surau baharu di kawasan berkeperluan seperti Surau Ittifaqiyah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here