50 inisiatif ditawarkan kepada penduduk Jelebu jika BN menang

0
26
Penyandang kerusi Parlimen Jelebu Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Jalaluddin Alias bertemu pengundi.

JELEBU – Penyandang kerusi Parlimen Jelebu daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Jalaluddin Alias berjanji untuk menyediakan bantuan awal persekolahan sebanyak RM200 kepada pelajar golongan B40 dan sumbangan RM300 dan 30 kilogram beras kepada pasangan yang bakal berumah tangga jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan BN membentuk kerajaan.

Beliau bekata, selain itu, bantuan khas sekali bayar berjumlah RM1,000 kepada semua anak Jelebu dan bantuan komputer riba kepada pelajar dari keluarga asnaf yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam atau swasta.

Turut ditawarkan ialah kelas tambahan mata pelajaran terpilih di setiap Dewan Undangan Negeri ( DUN) untuk pelajar SPM kepada penduduk Parlimen itu.

Tawaran lain ialah program kursus perkahwinan percuma kepada bakal pengantin akan diadakan di setiap DUN di Parlimen Jelebu bagi meringankan golongan belia yang mahu mendirikan rumah tangga.

Jalaluddin berkata, insiatif berkenaan antara 50 inisiatif daripada lima teras utama yang ditawarkan kepada penduduk di Parlimen Jelebu.

Katanya inisiatif untuk tempoh lima tahun itu ditawarkan kepada seluruh rakyat Jelebu tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan latar belakang politik.

“Dikenali sebagai Tekad BN Untuk Keluarga Jelebu, ia dirancang sejak tiga bulan lalu ketika saya memikirkan apa yang belum dibuat dan mahu dilakukan di Jelebu sehingga akhirnya dimuktamadkan menerusi Tekad BN ini.

“Tekad BN ini adalah komitmen untuk diberikan kepada rakyat sekiranya BN mentadbir negara. Ada antara inisiatif sudah dilaksanakan sebaik saya menjadi Ahli Parlimen pada 2008 lalu namun ia ditambah baik dan Tekad BN ini didokumenkan supaya menjadi rujukan penduduk Jelebu,” katanya pada Majlis Pelancaran Tekad BN Untuk Keluarga Jelebu di Pusat Arahan Chennah Dua, Simpang Durian di sini.

Jalaluddin berkata, lima teras diperkenalkan adalah kecemerlangan pendidikan; meraikan peranan wanita dan belia; meningkatkan tahap pembangunan infrastruktur, fasiliti dan alam sekitar; kebajikan rakyat, kesejahteraan komuniti dan pemantapan institusi keagamaan dan bantuan sektor pertanian, komoditi dan perniagaan.

Beliau berkata, inisiatif lain yang ditawarkan kepada penduduk Jelebu adalah program lesen percuma bagi belia Orang Asli berusia 16 hingga 20 tahun bermula tahun depan.

“Bantuan khas kepada pemilik kebun yang terjejas hasil pertanian akibat bencana alam seperti banjir antara inisiatif yang turut ditawarkan,” katanya.

Jalaluddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu, berkata selain itu, sasaran untuk pembinaan 1,000 buah rumah mampu milik dalam tempoh lima melalui kerjasama pelbagai agensi untuk golongan muda dan mereka yang memerlukan juga merupakan inisiatif yang ditawarkan menerusi Tekad BN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here