700 unit projek PPR dilancar di Kepala Batas

0
27
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat model rumah PPR yang akan dibina di Kepala Batas dengan kos bernilai RM113 juta.

KEPALA BATAS – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pembinaan projek perumahan rakyat (PPR) Kepala Batas bagi memenuhi keperluan tempat kediaman untuk golongan berpendapatan rendah yang berkelayakan dan belum memiliki rumah.

Perdana Menteri berkata, projek bernilai RM113 juta itu melibatkan pembinaan sebanyak 700 unit rumah pangsa empat tingkat berserta kemudahan asas.

“Projek ini akan dilaksanakan di atas tanah seluas 20 ekar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Lot 2587, Mukim 8, Pongsu Seribu, Seberang Perai Utara.

“Projek PPR Kepala Batas ini turut menyediakan tujuh unit rumah untuk memenuhi keperluan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Pecah Tanah Projek PPR Kepala Batas di Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, meskipun kos pembinaan seunit rumah itu adalah RM161,000 tetapi ia akan dijual pada harga RM45,000 seunit.

“Ini bermakna subsidi bagi seunit rumah adalah RM116,000 dan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung Kerajaan bagi projek ini adalah sebanyak RM81.2 juta.

“Kerajaan mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan dokongan PERDA dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kerana menyediakan tanah yang bersesuaian untuk pembinaan perumahan PPR Kepala Batas ini,” ujarnya.

Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan majlis pecah tanah bagi pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam, yang akan dibangunkan di atas tanah milikan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) tanah seluas dua hektar di Pongsu Seribu, Seberang Perai Utara.

Ismail Sabri berkata, kos keseluruhan pembinaan masjid itu adalah sebanyak RM7 juta yang menggunakan kaedah cost-sharing di mana kerajaan persekutuan memperuntukkan sebanyak RM4 juta, kerajaan negeri pula sebanyak RM2 juta dan sumbangan melalui kutipan wakaf dana pembangunan masjid sebanyak RM1 juta.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas inisiatif dan sumbangan ahli kariah dalam merealisasikan pembinaan masjid ini yang bakal memuatkan 1,600 jemaah.

“Seni bina Masjid Bandar Putra Bertam ini berkonsepkan Green Design Approach atau bangunan mesra alam rendah karbon, dan ia akan menjadikan masjid tersebut sebagai mercu tanda dan salah satu bangunan hijau di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan KBYC bernilai RM45 juta di atas tanah seluas 25 ekar di Mukim 6, Seberang Perai Utara.

“KBYC ini akan menyediakan kemudahan sukan yang lengkap bertaraf antarabangsa dan akan turut menjadi onestop centre bagi aktiviti belia di wilayah utara Semenanjung. Ia akan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya asrama, astaka, padang bola dan trek sintetik, dewan E-Sport, bilik muzik, gimnasium, trek jogging, taman papan selaju dan pelbagai kemudahan lain untuk golongan belia.

“Meskipun Pulau Pinang adalah negeri yang diterajui oleh pembangkang, namun saya mengetepikan kesemua perkara ini atas dasar keutamaan terhadap pembangunan Keluarga Malaysia.

“Justeru, saya ingin menyeru seluruh Keluarga Malaysia Pulau Pinang, terutamanya di Kepala Batas ini untuk memilih kerajaan persekutuan yang ada dan sentiasa konsisten dalam menunaikan janjinya terhadap setiap lapisan masyarakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here