Abang PN, adik PH bertanding di DUN Perak tetap pentingkan ukhwah persaudaraan

0
114
Mohd Hafez Sabri (kiri) dan Mohamad Hairul Amir Sabri (kanan)

KUALA KANGSAR – Meskipun berlainan parti politik, dua beradik yang bertanding dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam Pilihan Umum Ke-15 (PRU15) ini tetap mementingkan ukhwah persaudaraan.

Mohamad Hairul Amir Sabri yang merupakan Timbalan Pengerusi PKR Perak akan bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) di DUN Bukit Chandan manakala abangnya, Mohd Hafez Sabri yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) diberi kepercayaan untuk bertanding di DUN Manjoi.

Amir ketika ditemui berkata, beliau bersyukur apabila diberi peluang untuk menjadi calon pada kali ini.

Katanya, walaupun berbeza parti dengan abangnya, asas perjuangan mereka tetap sama iaitu memperjuangkan hak rakyat dan membantu membangunkan kawasan yang diwakili.

“Abang merupakan darah daging saya sendiri, sejak kecil kami telah diajar untuk berpegang teguh pada agama dan membawa nilai-nilai murni dalam masyarakat.

“Perbezaan antara saya dan abang saya hanyalah pada pandangan dari segi parti politik, namun perjuangan kami hampir sama bagi membela rakyat,” katanya.

Sebagai calon di Bukit Chandan, Amir menjanjikan manifesto yang realistik untuk meningkatkan ekonomi dan pendapatan penduduk tempatan dengan menyediakan bantuan latihan dalam bidang digital, pertanian dan perikanan untuk anak muda khususnya dan masyarakat tempatan.

Untuk anak muda Amir berjanji untuk menyediakan sebuah kompleks sukan pelbagai guna dan akedemi bola sepak selain menyediakan bantuan perniagaan konvensional dan atas talian khususnya buat golongan ibu tunggal dan wanita.

Ditanya mengenai sambutan orang ramai di kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu, Amir berkata, beliau mendapat maklum balas yang baik dan akan meneruskan momentum tersebut sehingga hari pembuangan undi Sabtu ini.

“Saya berjanji akan memberikan perkhidmatan yang terbaik buat masyarakat di Bukit Chandan dan Kuala Kangsar khususnya jika mendapat mandat pada PRU kali ini.

“Kepada semua pengundi diharap dapat turun mengundi beramai-ramai pada Sabtu depan demi masa depan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here