Abdul Hadi, Radzi anggap kegagalan bentuk kerajaan ada hikmah, mahu teruskan perjuangan

0
28
Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini berkongsi nada sama untuk menerima hikmah di sebalik kegagalan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Abdul Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang berkata, beliau menerima segala yang berlaku dan yakin pada perancangan Allah yang mempunyai hikmat tersendiri.

“Segala yang berlaku telah berlaku, pasti ada hikmah. Terima kasih kepada rakyat atas sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, apa yang lebih penting sebagai seorang pemimpin adalah kejujuran kepada rakyat, sentiasa bersabar dan istiqamah.

Beliau dalam pada itu mengulangi gesaan supaya Perdana Menteri baharu yang dilantik, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti yang diterimanya sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu Dr Radzi meminta pengundi Perikatan Nasional (PN) untuk terus bergerak meneruskan perjuangan.

“Apa yang utama gelombang sokongan kepada PN ketika PRU15 Sabtu lalu adalah luar biasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau di sini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, semalam.

Katanya, fakta juga sudah direkod seperti dinyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa PN telah mengemukakan Akuan Bersumpah daripada lebih 112 orang Ahli Parlimen yang memberi kepercayaan kepada Pengerusi PN itu dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Ramai dalam kalangan sahabat penyokong Perikatan Nasional, menyatakan kesedihan mereka apabila Perikatan Nasional tidak dapat membentuk kerajaan.

“Ini termasuklah penjawat awam yang bersama-sama memberi dokongan kepada kami, khususnya di Putrajaya.

“Usah bersedih sahabat semua. Api perubahan dan kebangkitan rakyat ini akan terus kita semarakkan.

“Perjuangan membina Malaysia yang lebih gemilang berpaksikan prihatin, bersih dan stabil tidak akan terhenti hari ini,”katanya.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 5 petang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here