Aduan sabotaj kempen parti, UMNO gantung sementara Ketua Wanita Bahagian Arau, Maran

0
14
AHMAD

CYBERJAYA – Parti UMNO mengumumkan penggantungan sementara dua Ketua Wanita Bahagian berikutan aduan membantu calon lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penggantungan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Kenyataan itu menyebut penggantungan Ketua Wanita Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim itu selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO.

“…Ada aduan sahih berkenaan tingkahlaku, sikap dan kecenderungan kedua-dua Ketua Wanita UMNO Bahagian terbabit secara langsung atau tidak langsung dan menyokong calon parti lawan pada PRU15,” kata Ahmad dalam kenyataan tersebut.

Beliau turut menambah, butiran lanjut dan pertuduhan akan dibuat dalam masa terdekat.

“UMNO ingin menegaskan. pemantauan bereterusan akan dilakukan terhadap ahli-ahli parti sepanjang tempoh kempen PRU15 bagi memastikan tiada unsur-unsur sabotaj dilakukan terhadap calon dan parti,” kata kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, Barisan Nasional (BN) sebelum ini menggugurkan penyandang kerusi Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan penyandang kerusi Maran, Datuk Seri Ismail Abd. Mutalib daripada mempertahankan kerusi mereka pada PRU15 dan digantikan dengan calon baharu.

Berikutan itu, Shahidan dan Ismail mengumumkan bahawa mereka akan bertanding kali ini di atas tiket Perikatan Nasional (PN).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here