Agong titah parti-parti politik kemuka gabungan sebelum 2 petang esok

0
24
Gambar Fail Istana Negara

KUALA LUMPUR – Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan gabungan parti-parti yang mendapat kepercayaan majoriti memaklumkan kepada Istana Negara sebelum 2 petang esok.

Istana Negara menerusi Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung semalam (19 November 2022), daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 1.15 petang, hari ini.

“Dokumen yang dikemukakan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

“Sehubungan dengan itu, menjunjung titah perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah meminta kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memohon kepada ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti antara parti-parti politik/gabungan parti-parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15,” katanya.

Kenyataan itu juga menitahkan setiap gabungan parti mengemukakan seorang nama Ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.

“Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik tersebut akan diminta oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti-parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang, pada hari Isnin, 21 November 2022.

“Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, adalah dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

Menurut Datuk Fadil lagi, baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.

“Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.

“Baginda seterusnya turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here