Ahli Parlimen BN yang langgar arahan parti akan dipecat, hilang kerusi – Ahmad Zahid

0
107

CYBERJAYA – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, semua Ahli Parlimen yang memenangi kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada beliau bagi menentukan sendiri gabungan politik yang akan dibuat bagi membentuk kerajaan.

Beliau dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen.

“Ini adalah selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai tindakbalas kepada kenyataan dibuat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zahari bahawa pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersetuju untuk membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) dan BN.

“Saya ingin memaklumkan tiada sebarang perundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan,” kata Ahmad Zahid lagi.

Difahamkan, Ahmad Zahid lebih cenderung memilih bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dan membentuk kerajaan pasca PRU15.

Jika benar, langkah itu melanggar ketetapan yang dicapai pada Perhimpunan Agong UMNO yang lalu bahawa kerjasama yang dijalin dengan parti lain adalah berdasarkan ‘No DAP, No Anwar’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here