Anwar janji pertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan

0
18
Anwar Ibrahim

KAJANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbirannya akan mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, di bawah kerajaan PH dengan gabungan parti-parti lain, beliau akan memastikan semua peruntukan dalam perlembagaan negara dipatuhi mengikut landasan undang-undang.

Jaminan itu katanya termasuk menjaga hak dan kepentingan agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, kemuliaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Saya tegaskan, Pakatan Harapan dan kerajaan perpaduan ini akan tetap menjunjung semangat perlembagaan. Menjaga kedudukan orang Melayu, Bumiputera, Raja-Raja Melayu.

“Negara ini berlandaskan Melayu menjadi induk, jadi saya tidak akan bertolak ansur untuk menjaga hak semua kaum dan wilayah-wilayahnya,” katanya pada sidang media pertama selepas dilantik menjadi Perdana Menteri petang tadi.

Anwar mengumumkan, Kerajaan Persekutuan kini dianggotai oleh tiga gabungan parti iaitu PH, bersama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam pada itu, beliau turut mempelawa penyertaan ahli Dewan Rakyat dari parti lain termasuk dari Perikatan Nasional (PN).

“Saya tetap bersedia menerima penyertaan yang lain dari PN untuk menjadikan negara ini lebih baik, kuat dan stabil walaupun ada kenyataan Pengerusinya yang tidak begitu memberangsangkan,” katanya.

Anwar berkata, selain tumpuan untuk memulihkan semula ekonomi negara yang akan menjadi fokus utama, beliau juga berikrar untuk memerangi rasuah.

“Di bawah pentadbiran saya, saya tidak akan bertolak ansur dengan rasuah,” katanya

Sementara itu, beliau berterima kasih kepada seluruh rakyat negara ini atas kepercayaan yang diberikan sehingga membolehkannya mengepalai negara ini.

“Saya berterima kasih kepada Yang Dipertuan Agong atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada saya sebagai Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here