Anwar mulakan tugas rasmi sebagai Perdana Menteri

0
13
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Putra Perdana bagi memulakan tugas beliau sebagai Perdana Menteri di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan tugas secara rasmi pada pagi ini sebaik tiba di Bangunan Putra Perdana di sini pada pukul 9.52 pagi ini.

Ketibaan Anwar, 75, yang berbaju Melayu merah jambu menaiki kenderaannya kemudian disambut oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi pegawai-pegawai kanan kerajaan dibawa mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermulanya tugas beliau sebagai Perdana Menteri ke-10.

Sejurus selesai mengimbas kad perakam waktu, Anwar terus bergerak ke ruang pejabat Perdana Menteri untuk menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.

Anwar semalam diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu berkuatkuasa 24 November 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here