Anwar, Wan Azizah dikritik tidak isytiharkan harta

0
19
Anwar Ibrahim dan Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Dua pemimpin utama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dikritik hebat selepas gagal membuat pengisytiharan harta di portal calon parti itu.

Hasil carian di laman web www.calonkeadilan.org masih tiada sebarang maklumat dipaparkan oleh pasangan suami isteri itu selain status ‘akan dikemaskini’.

Hal itu menjadi perbualan orang ramai apabila kebanyakan calon-calon PKR yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum telah berkongsikan nilai harta masing-masing.

Menurut Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR Rodziah Ismail, maklumat pengisytiharan harta kedua-dua pemimpin itu masih tidak dilampirkan kerana masing-masing terlalu sibuk dengan jadual harian.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan akan memuat naik maklumat kewangan dan aset dimilik Anwar dan Wan Azizah selewat-lewatnya hari ini.

“Anwar teramat sibuk, kali ini strict sikit. Kali ini saya minta akuan bersumpah.

“Jadi insya-Allah mungkin masa beliau terlalu ketat, maklumat tu semua dah ada dan akuan bersumpah yang perlu dibuat di hadapan pesuruhjaya sumpah. Dalam hari ini insya-Allah,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Semalam, sebahagian besar daripada 72 calon parti itu telah melengkapkan pengisytiharan aset sebagai tanda ketelusan untuk menjadi wakil rakyat.

Untuk rekod, berdasarkan maklumat pengisytiharan harta tersebut, antara calon PKR yang mempunyai aset tertinggi berdasarkan dokumen yang dimuat naik adalah calon kerusi Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor dengan aset RM106.1 juta daripada pelaburannya dalam DNS Capital Sdn Bhd dan iLimo Stalite LTD manakala kira-kira RM5.3 juta dalam bentuk hartanah.

Rekod juga menunjukkan Suparadi pernah memegang pelbagai jawatan antaranya Pengarah Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) dan Pengarah Eksekutif Iris Corp.

Selain Suparadi, calon lain yang memiliki aset bersih yang tinggi seperti calon Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan berjumlah RM63.5 juta dan calon Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash bernilai RM40 juta.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menjadi calon pertama PRU-15 yang mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Minggu lalu, Rafizi dilaporkan berkata sekiranya terdapat mana-mana ahli politik yang enggan mengisytiharkan harta yang dimiliki, kemungkinan terdapat sesuatu yang cuba diselindungkan.

Difahamkan, pada majlis pengumuman calon PKR, kesemua calon menandatangani borang aku janji.

Borang tersebut melibatkan persetujuan untuk memulangkan wang deposit pencalonan, memotong elaun sekiranya menjadi wakil rakyat, serta mengisytiharkan harta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here