Banjir di sembilan daerah meningkat kepada 1,817 orang

0
12

Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Seramai 1,817 orang mangsa daripada 488 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan sedang berlindung di 22 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam negeri yang terjejas setakat petang tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan berkata, sehingga pukul 4 petang tadi, jumlah negeri yang terjejas dengan banjir bertambah tiga bauh negeri lagi melibatkan 9 daerah.

Negeri terlibat dan masih terjejas adalah Selangor, Kelantan, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Melaka.

“Pada jam 10.00 malam tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) sehingga hari ini untuk Kelantan dan Terengganu.

“Kawasan yang berpotensi menerima impak ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan dan Best, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

“Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir di Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Semblan, Melaka, Johor dan Sarawak,” katanya.

NADMA berkata, setakat 3 petang tadi, Jabatan Pengairan dan Salian (JPS) mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Kemungkinan Banjir Kilat dalam tempoh 12 jam akan datang bagi Johor (Batu Pahat, Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi), Terengganu (Dungun), Kedah ( Kota Setar, Kuala Muda, Yan), Sabah ( Papar, Tuaran) , Sarawak dan Selangor (Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Sepang).

“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan dan amaran dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan siapsiaga.

“JPS juga menghantar pam ke kawasan Meru, Kelang bagi membantu mempercepatkan aliran air keluar ke sungai daripada kawasan banjir,” katanya.

DI Kelantan, dua jajahan iaitu Pasir Mas dan Tanah Merah dilaporkan terkesan dengan banjir sehingga 6 petang tadi.

Menurut NADMA, aras air di Stesen Sungai Siam di Kampung Sungai Siam di Lembangan Sungai Johor diramalkan akan melepasi aras bahaya sebanyak 0.02 meter pada jam 6 petang hari ini.

“Penduduk di kawasan rendah diarahkan untuk bersiap sedia dan patuh arahan jika diarahkan berpindah. Sehingga jam 6 petang ini, tiga PPS sudah diaktifkan di Segamat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here