Banyak yang dilakukan dalam tempoh 15 bulan, bayangkan jika diberi peluang sepenggal lagi – PM

0
5

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya beliau dan Barisan Nasional (BN) diberi peluang sepenggal lagi untuk mentadbir negara, lebih banyak perkara dan pembaharuan dapat dilakukan.

Perdana Menteri berkata, ini terbukti apabila sepanjang tempoh 15 bulan mengetuai negara, pelbagai perkara berjaya dilakukan termasuk mewujudkan kestabilan dalam negara.

“Daripada segi kestabilan politik, dalam mengambil keadaan negara yang tidak stabil ketika itu (semasa baru menjadi PM), saya juga berjaya menstabilkan politik negara.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita yang kerajaan bersama pembangkang boleh duduk semeja menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) supaya diwujudkan gencatan senjata di dalam negara yang menjadikan politik stabil ketika itu. Malah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan diluluskan dengan sokongan semua pihak secara sebulat suara.

“Undang-undang Anti Lompat Parti yang tidak pernah diluluskan, sudah lama kita cakap soal lompat parti. Waktu saya, ia diluluskan dengan begitu tenang dan tidak ada bantahan daripada sesiapa pun.

“Akhirnya politik negara dapat distabilkan.
Berbanding dengan yang lain, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah dapat membuktikan kejayaannya sebagai Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad yang memerintah selama 22 bulan digulingkan oleh parti gabungan mereka sendiri. Selepas itu Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi selepas 18 bulan juga tumbang,” katanya dalam Bual Bicara Khas Bersama Perdana Menteri hari ini.

Ismai Sabri berkata, kalau sepanjang tempoh itu beliau boleh menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan, lebih banyak perkara juga boleh lakukan jika diberikan tempoh lima tahun lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau bukan sekadar bercakap kosong malah telah berjaya membuktikan sepanjang mentadbir selama 15 bulan.

“Saya mengambil kerajaan ini pada waktu yang sangat sukar. Kes Covid-19 sebanyak 24,000 sehari dengan kematian ratusan setiap hari.

“Katil di ICU hampir tidak mencukupi, ekonomi dalam keadaan yang amat teruk kerana sektor ekonomi telah ditutup hampir sepenuhnya. Perebutan kuasa di dalam politik daripada segi kestabilan politik tidak ada sebab dua Perdana Menteri telah bertukar.tapi cuba lihat dalam setahun empat bulan ini, apa pencapaian yang telah saya lakukan.

“Daripada segi Covid, 24,000 kes akhirnya kita menjadi salah satu negara terbaik dalam menyelesaikan isu Covid-19 apabila vaksinasi kita menjadi salah satu yang tertinggi daripada peratusan rakyat yang mendapatkan vaksin berbanding dengan negara-negara lain.

“Ekonomi memang teruk ketika itu, tetapi Bank Negara mengisytiharkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga kita mencapai 14.2 peratus, menjadikan negara kita sebagai salah satu negara yang terbaik daripada segi pencapaian KDNK.

“Daripada 5 peratus pada suku pertama menjadi 8.9 peratus pada suku kedua dan meningkat 14.2 peratus pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Selain itu, katanya, daripada segi pengangguran juga dapat dikurangkan sehingga 3.6 peratus, kalau kurang daripada 4 peratus ia dianggap sebagai guna tenaga kerja penuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here