BN lancar manifesto PADU dengan janji komprehensif untuk rakyat

0
23
Dr Ahmad Zahid Hamidi

CYBERJAYA – Barisan Nasional malam ini melancarkan manifesto yang dinamakan sebagai Pelan Amal dan Usaha (PADU) sebagai aku janji parti itu kepada rakyat negara ini sekiranya diberi kepercayaan untuk mentadbir kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) nanti.

Melalui Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PADU adalah tawaran BN yang bersifat baharu dan segar yang mengandungi 99 Amal dan Usaha parti itu untuk mengemudi tanah air ke arah kemajuan.

“PADU bukan janji-janji manis dan indah. PADU bukan tentang segala-galanya percuma. PADU bukan tentang pemansuhan dan pengurangan tanggungjawab dalam serba serbi.

“Tetapi, PADU adalah pelan yang serius dan rasional. Pelan yang mempunyai sasaran yang jelas. Dan pelan yang BN akan amal dan usahakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan semua, Insya-Allah,” katanya pada majlis pelancaran Manifesto BN malam ini.

Ahmad Zahid berkata, antara fokus yang diberi keutamaan melalui janji parti itu adalah penyelesaian nasional yang komprehensif bagi menjawab pelbagai isu berkait dengan kos sara hidup yang tinggi.

Melalui usaha itu katanya, kerajaan akan melaksanakan skim top-up atau tambahan pendapatan bulanan bagi memastikan setiap isi rumah mempunyai sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan.

“Bagi yang mempunyai pendapatan dalam kelompok M40 dan termasuk dalam kumpulan pembayar cukai antara RM50 ribu hingga RM100 ribu pula, kita akan memberi 2% potongan cukai pendapatan.

“Ini sudah pasti akan membolehkan kuasa beli golongan M40 meningkat dan mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya.

Tawaran lain termasuk pendidikan awal percuma dan asuhan percuma untuk kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah di seluruh negara.

“Perubahan sistem yang radikal ini bukan sahaja akan mengurangkan sebahagian besar kos penjagaan dan pendidikan kanak-kanak di seluruh negara, tetapi menjadi bukti komitmen dan pelaburan besar negara dalam memastikan asuhan dan pendidikan awal dilakukan dengan cara terbaik,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan BN juga akan melaksanakan sistem persekolahan tanpa buku teks sebagai agenda pendigital pendidikan bagi mengatasi masalah beg sekolah terlalu berat.

Pada peringkat pengajian tinggi pula, Barisan Nasional akan memberikan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak dalam kalangan B40.

“Semua mahasiswa atau sesiapa sahaja yang melakukan latihan amali atau internship akan diwajibkan bayaran elaun oleh majikan bagi mengelak eksploitasi,” katanya.

Di peringkat swasta pula, BN mahu memastikan para majikan mengambil pekerja daripada pelbagai bangsa, gender dan latar belakang dengan menawarkan insentif cukai kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kemajmukan pada peringkat pengurusan.

Sebagai langkah keterangkuman nasional pula, BN turut menjanjikan tawaran kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here