BN Tenggara tegaskan hanya hantar satu nama, iaitu Dr. Adham Baba pada PRU15 

0
48
Sidang media Barisan Nasional (BN) Bahagian Tenggara. Kredit : Astro Awani.

TENGGARA – Barisan Nasional (BN) Bahagian Tenggara hanya akan membawa satu nama sahaja mewakili mereka iaitu Datuk Seri Dr. Adham Baba menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang. 

Wakil BN Tenggara, berkata, sokongan tersebut adalah kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang sangat prihatin pada masyarakat di kawasan Parlimen tersebut.

“Datuk Dr. Adham adalah calon ‘wali’ kami. Beliau telah membuktikannya sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen di sini dan pernah juga menjadi menteri kerana beliau menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. 

“Oleh sebab itu kami sebulat suara dengan rakan-rakan di Tenggara ini untuk membawa satu nama sahaja sebagai calon Ahli Parlimen Tenggara,” katanya dalam satu sidang media hari ini. 

Tambahnya lagi, BN bahagian Tenggara berasa risau sekiranya Dr. Adham tidak dicalonkan kerana boleh merencatkan kemenangan BN pada PRU15. 

“Saya amat risau sebenarnya sekiranya beliau tidak dicalonkan hal ini akan menggugat kemenangan BN di kawasan Tenggara.

“Kerana di Tenggara ini rata-rata mengenali Adham Baba, betapa prihatinnya beliau terhadap semua kaum di sini. Sebab itu tiada sebab untuk kami letakkan orang lain sebagai Ahli Parlimen Tenggara,” ujarnya lagi. 

Mengulas lanjut, BN bahagian Tenggara juga berharap pimpinan atasan BN untuk melihat perkara ini dengan lebih mendalam. 

“Kami mengharapkan pimpinan atasan BN untuk melihat perkara ini kerana inilah suara kami bukan kerana ingin ‘melobi’ tidak tentu hala tapi ini telah dibuktikan bahawa beliau layak jadi pemimpin kami,”katanya. 

Untuk rekod, pada PRU14 Dr. Adham telah menang di kerusi Parlimen Tenggara dengan 20,142 undi, majoriti 5,933 undi. 

Beliau menewaskan pencabarnya Nor Jepri Mohamed Jelani dari PKR dan Cikgu Yuha dari Pas yang masing-masing meraih 14,209 dan 2683 undi. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here