BN yakin menang 112 kerusi Parlimen – Ismail Sabri

0
28

BERA – Barisan Nasional (BN) yakin mampu menguasai lebih 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti sekaligus mampu membentuk kerajaan Persekutuan.

Keyakinan itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang berkata maklumat itu adalah berdasarkan laporan kempen yang dibentangkan pada mesyuarat ‘Top Five’ parti UMNO di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, berdasarkan laporan tersebut, penerimaan pengundi terhadap BN adalah amat positif.

Untuk rekod, ‘Top Five’ UMNO merujuk kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; serta tiga naib presidennya iaitu Ismail Sabri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Bagaimanapun, kata Ismail Sabri lagi, walaupun BN boleh membentuk kerajaan dengan 112 kerusi, beliau percaya parti tersebut tidak akan bersendirian dalam membentuk kerajaan sebaliknya bersama dengan rakan BN dari Sabah dan Sarawak supaya lebih stabil.

“Kita memerlukan kerajaan yang lebih kuat. Kita perlukan rakan-rakan di Sabah dan Sarawak untuk bersama kita dan mengharapkan sokongan mereka untuk memperkuatkan kerajaan yang dibentuk pada masa akan datang

“Walaupun 112 (kerusi Parlimen) sudah boleh membentuk kerajaan kerana tidak boleh lagi berlaku lompat parti tetapi kita mahu kerajaan yang lebih kuat bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Ramah Mesra di Kampung Batu Bor di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan taklimat itu juga, BN mendapati ‘mood’ pengundi di seluruh negara semakin menyokong parti itu sama ada pengundi di luar bandar dan kawasan urban selain pengundi bukan Melayu juga sudah kembali memberikan sokongan kepada BN.

“Pengundi juga dilihat membuat perbandingan prestasi Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir kerajaan pada 2018 dengan kejayaan pentadbiran BN sebelumnya.

“Jadi mereka lebih yakin bahawa BN mampu bawa negara ke tahap lebih baik berbanding PH,” katanya.

Mengulas sentimen pengundi muda, Ismail Sabri berkata, BN sedang melaksanakan libat urus dengan golongan itu seperti menerangkan mengenai tawaran BN selain memberi panduan proses pengundian kerana majoritinya adalah pengundi kali pertama.

Pada PRU15, Ismail Sabri selaku penyandang kerusi Parlimen Bera sejak 2004, ditentang calon PH Abas Awang dan Asmawi Harun (PN-Bersatu).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Selasa ini sebagai pengundian awal manakala 19 Nov sebagai hari pengundian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here