Calon kematian suami perlu patuh tempoh edah, dilarang keluar berkempen pilihan raya

0
19
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan wanita yang menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi berada dalam tempoh edah susulan kematian suami dilarang keluar untuk berkempen.

Beliau berkata, calon terbabit tidak boleh keluar ‘bait al-zaujiyyah’ atau rumah kehidupan sebagai pasangan suami isteri atau tempat beliau menetap sepanjang tempoh edah jika tiada rumah perkahwinan untuk berkempen pilihan raya.

“Keluar untuk kempen pilihan raya bukan keperluan hidup, yang mana jika dia tidak keluar maka hidupnya terjejas dan hidup seseorang tidak bergantung kepada hal itu, kerana jika dia tidak menyertai berkempen pilihan raya pun tidak menjejaskan keperluan asas hidupnya.

“Malah, orang lain juga tidak mendapat kesusahan kerana ketidakhadiran beliau berkempen,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Mohd Asri berkata, wanita yang kematian suami, wajib berada dalam edah selama empat bulan 10 hari.

“Ini adalah perintah al-Quran dan al-Sunnah dimana hanya tempoh itu boleh disingkatkan jika wanita itu mengandung dan melahirkan anak sebelum tempoh itu. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 234yang bermaksu “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri hendaklah isteri itu menahan diri mereka (beredah) selama empat bulan sepuluh hari.”

“Malah, kewajipan berada dalam ‘iddah (edah) ini sudah jelas dalam al-Quran, al-Sunnah dan ijmak (kesepakatan tanpa kecuali) para mujtahidin dan semua ulama sudah berijmak bahawa larangan yang paling wajib dipatuhi dalam tempoh itu adalah tidak boleh bernikah.

“Dalam masa yang sama majoriti ulama bersepakat bahawa larangan lain yang mesti dipatuhi ialah tidak boleh keluar daripada rumah melainkan jika ada keperluan yang dibenarkan dan demikian juga, wanita dalam edah kematian dilarang bersolek atau memakai perhiasan yang tidak sesuai dengan sifat wanita yang kesedihan atas kematian suami,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks semasa hari ini, pilihan raya hanyalah perebutan kuasa bukan kelangsungan kehidupan seseorang.

“Bahkan banyak pihak lain yang boleh melakukan hal yang sama dan tidak bergantung hanya pada orang tertentu sahaja, namun jika seseorang berada dia suatu tempat atau negara yang penyertaannya menentukan ‘survival’ (kelangsungan) umat Islam atau keselamatan orang ramai, maka dia boleh keluar berkempen dalam konteks itu.

“Walaupun begitu, seseorang calon wanita dalam edah kematian suaminya tetap boleh berkempen di rumahnya, sama ada melalui orang yang hadir atau melalui media baharu dengan pelbagai teknologi yang ada.

“Selain itu juga, dalam masa yang sama dia perlu ingat tentang larangan bersolek dan berhias yang disebutkan oleh Rasulullah SAW maka kemunculannya dalam sosial media atau di talian atau siaran langsung hendaklah mengambil kira hal berkenaan,” katanya.

Mohd Asri mengesahkan beliau sudah dihubungi calon wanita berkenaan yang sudah dimaklumkan mengenai hukum dan peraturan mengikut syarak itu, maka calon wanita itu menyatakan bahawa beliau akan mematuhi hukum syarak berkaitan.

Sebelum ini, wujud kebimbangan sama ada calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahida Zarik Khan, akan turut sama menyertai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) kerana masih lagi berada dalam tempoh edah susulan kematian suaminya pada Ogos lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here