Calon PH Ayer Hitam kesal bendera parti dicabut, dibuang

0
5

KLUANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Ayer Hitam Sheikh Umar Bagharib Ali menyelar tindakan individu yang tidak bertanggung jawab yang mencabut dan membuang bendera PH ke dalam parit.

Beliau dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya berkata, kejadian itu disedari oleh para petugas yang memacak bendera pada sekitar pukul 8 pagi semalam.

Katanya, bendera itu dipasang pada awal pagi semalam di sepanjang laluan Kampung Parit Kuari dekat Ayer Hitam, di sini.

“Kami amat kecewa terhadap sikap politik samseng sebegini dan mengutuk mana-mana pihak yang menggunakan taktik kotor serta tidak bertamadun dalam pilihan raya.

“Sikap ini telah mencalarkan demokrasi yang membenarkan parti-parti politik berkempen secara sihat dan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga pihak berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun, Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor telah mengarahkan petugas PH di Parlimen itu supaya tidak melakukan sebarang tindak balas di luar sempadan undang-undang pilihan raya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung insiden bendera parti politik dicabut atau dibuang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, kerusi Parlimen itu akan menyaksikan persaingan tiga penjuru melibatkan penyandang Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dari Barisan Nasional, Sheikh Umar dan calon Perikatan Nasional Muhammad Syafiq A. Aziz.

Pada PRU lepas, Wee memenangi parlimen itu dengan majoriti tipis sebanyak 303 undi.

SPR menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian PRU15, manakala pengundian awal pada 15 Nov.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here