Cuepacs cadang 18 Nov diisytihar cuti umum

0
19

CYBERJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan 18 Nov diisytiharkan sebagai cuti umum khas bagi memudahkan pergerakan rakyat ke lokasi mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, walaupun tarikh membuang undi jatuh pada Sabtu, cuti umum tambahan sehari lebih awal itu wajar diberikan memandangkan ramai rakyat tidak mengundi di lokasi mereka bekerja.

“Ada dalam kalangan mereka yang perlu melakukan perjalanan lebih daripada empat jam bagi menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

“Begitu juga dengan penduduk Labuan, Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung, jadual penerbangan terhad mungkin menyukarkan mereka pulang pada hari mengundi apatah lagi mereka yang tinggal di pedalaman yang memerlukan perjalanan tambahan serta memakan masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, walaupun setiap pekerja layak mengambil cuti tahunan, Cuepacs bimbang ada majikan yang tidak membenarkan mereka memohon cuti awal untuk pulang ke lokasi mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here