Dakwaan Anwar anggota tentera mengundi awal, dibayar RM300 fitnah

0
11
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

BERA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim terdapat anggota tentera mengundi awal di Parlimen Bera dan dibayar RM300 adalah fitnah serta merendahkan martabat anggota keselamatan.

Perdana Menteri berkata, tuduhan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Tambun itu sengaja dilakukan bagi menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Menurutnya, Anwar perlu sedar dakwaan itu bersifat jahat dan perlu memohon maaf kepada anggota tentera.

“Ini adalah tuduhan jahat. Jangan menghina anggota tentera malah dia perlu tarik balik tuduhan itu kerana ia menghina anggota tentera di seluruh negara.

“Tiada keistimewaan yang diberikan untuk anggota tentera mengundi sehingga diberikan imbuhan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ngeteh Santai Orang Kita di Perkampungan Orang Asli Kampung Bongkok di sini, hari ini.

Ketika berucap di satu majlis di Terengganu, Anwar mendakwa anggota tentera dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

Anwar yang juga calon Parlimen Tambun mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat perkara itu.

Seramai 113,000 anggota tentera termasuk pasangan mengundi awal di 189 pusat mengundi pada 15 November ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here