E-sukan, tawaran kerja jadi penarik Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda GEGOR Bera

0
31

BERA – Program e-sukan dan tawaran kerja akan menjadi tarikan utama kepada penganjuran Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda GEGOR Bera yang berlangsung di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera pada Sabtu ini.

Karnival yang dianjurkan oleh Miat Quadra E-Sport Club dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Perbadanan Pembangunan Manusia Berhad (HRDCorp) itu dijangka menghimpunkan lebih 2,000 belia dari Parlimen Bera dan kawasan berhampiran.

“Setakat ini sebanyak 38 kumpulan e-sukan telah mendaftar dengan semuanya anak tempatan Bera, namun penyertaan juga terbuka kepada mereka dari luar Bera, bagi merebut hadiah berupa wang tunai serta cabutan bertuah.

“Pasukan e-sukan negara, Team Haq Esports Club yang muncul juara perlawanan Liga Profesional Mobile Legend (MPL) MY musim ke-10 juga akan menghadiri karnival ini,” kata Pengerusi penganjur, Mohamad Lukman Afiq Mohamad Faizal.

Mohamad Lukman Afiq

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Pusat Media Parlimen Bera, Padang Luas, di sini hari ini.

Penganjuran pertandingan e-sukan itu bertujuan mencungkil bakal belia dalam sukan tersebut, yang kini telah menjadi kerjaya sukan dengan ramai pemain muda berjaya di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Mohamad Lukman Afiq berkata, karnival yang dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu turut melibatkan tawaran 1,500 kerja menerusi acara JaminKerja.

Tambahnya, acara lain yang akan berlangsung ialah ujian pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan motosikal, konsert Keluarga Malaysia dan jualan pelbagai barangan menerusi trak makanan dan gerai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here